LAWAS: Kerajaan Sarawak akan memulakan “suatu inisiatif baharu” dalam masa terdekat untuk mempertingkatkan hasil kepada negeri Sarawak, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Haji Johari Tun Abang Haji Openg di sini malam tadi.
Beliau berkata ia akan diumumkan apabila tiba masanya kelak, ujar beliau dalam ucapan sempena majlis makan malam bersama komuniti di stadium tertutup di sini anpa menyatakan apakah sebenarnya inisiatif tersebut.
Namun, beliau memberi bayangan bahawa inisiatif tersebut mempunyai kaitan dengan sumber asli negeri ini yang mana hak ke atasnya telah diiktiraf oleh mahkamah baru-baru ini.
“Ya, memang benar Sarawak mempunyai 54 % rizab gas negara ini.
“Bermula dari Lawas, perut bumi Sarawak melandai hingga ke Baram, ke Balingian dan dari Balingian terus ke Natuna,” jelas beliau ketika memberi petunjuk kepada ciri-ciri inisiatif tersebut.
Mengenai cadangan oleh pelabur untuk membina loji penapisan minyak di sini beliau berkata kajian hidrolik akan dilaksanakan sebagai fasa terakhir beberapa siri kajian yang harus dijalankan.
Kerajaan negeri telah membuat keputusan untuk memindahkan cadangan tapak lapangan terbang baharu Lawas ke lokasi lain untuk memberi laluan kepada projek tersebut, jelas beliau.
Lawas memerlukan sebuah lapangan terbang baharu yang lebih besar untuk memudahkan usaha menarik pelaburan ke kawasan utara Sarawak, tambah beliau.
Mengenai pembangunan yang sedang dilaksanakan di kawasan-kawasan pembangunan baharu di bawah RECODA, Datuk Patinggi Abang Haji Johari menyatakan bahawa program pembangun di kawasan URDA, HDA dan NRDA adalah berdasarkan kehendak rakyat tempatan.
Pembangunan di kawasan-kawasan ini berbentuk “bottom-up” dan bukan “top-down” dan merupakan kaedah “empowerment” untuk memberi ruang kepada rakyat bertindak berdasarkan kehendak mereka.
RM1.5 bilion setiap agensi telah diperuntukan bagi URDA, HDA dan NRDA bagi tempoh dua tahun untuk melaksanakan program pembangunan di kawasan tersebut, khususnya infrastruktur dan utiliti.
Datuk Patinggi Abang Haji Johari ditemani oleh isteri, Datuk Amar Hajjah Juma’ani Tun Tuanku Haji Bujang.
Turut berucap Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Industri dan Pembangunan Usahawan.
Sumber dari : Sarawakku