SEPTEMBER 2020

Tiada Rundingan MA63 Boleh Menyentuh Hak Sarawak Ke Atas Tanah: Abg Jo


LAWAS: Hak Sarawak ke atas tanah bumi Sarawak akan kekal di tangan Sarawak selaras dengan autonomi negeri ini dalam subjek tanah seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Haji Johari Tun Abang Haji Openg di sini hari ini.

Ketika perbincangan diadakan dengan Kerajaan Persekutuan untuk mengembalikan hak-hak Sarawak yang terhakis, Datuk Patinggi Abang Haji Johari menegaskan kepada sidang mesyuarat bahawa tiada rundingan perlu dibuat mengenai subjek tanah kerana ia hak mutlak Sarawak.

“Dalam ucapan pembukaan dalam mesyuarat MA63 berkenaan saya menekankan bahawa tiada yang boleh dibincangkan mengenai tanah bagi negeri Sarawak,” kata beliau dalam ucapan perasmian sempena Hari Innovasi dan Integriti Jabatan Tanah dan Survei 2020 yang diadakan di sebuah hotel di sini. 

Beliau menyifatkan subjek tanah negeri Sarawak sebagai “no deal” seperti kuasa Sarawak ke atas imigresen.

Sarawak mempunyai undang-undang tanahnya sendiri, iaitu Kanun Tanah Negeri (KTN) Sarawak dan Kanun Tanah Negara tidak mempunyai kuasa ke atas KTN, jelas beliau.

Menyentuh mengenai penggunaan teknologi dalam sistem penyampaian Jabatan Tanah dan Survei beliau menyarankan agar penyelidikan dilakukan oleh Jabatan untuk mengwujudkan “convergence of data” bagi memudahkan lagi proses merancang pembangunan, khusus pembangunan bandar.

Beliau yakin jika data mengenai pengurusan tanah diintegrasikan, perancangan bandar dan trafik akan menjadi lebih sistematik supaya bandar boleh berkembang secara organik, ujar beliau. 

Beliau juga menyarankan agar teknologi “blockchain” diperkenalkan dalam sistem penyampaian Jabatan Tanah dan Survei untuk mempertingkatkan mutu perkhidmatannya.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hassan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Terminal Industri dan Pembangunan Usahawan.

Sumber dari : Sarawakku