KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni menyambut baik inisiatif Kerajaan Sarawak dalam penyambungan digital di seluruh Sarawak sehingga 2025.
Katanya, sejak diperkenalkan pada tahun 2017, Sarawak telah menerima banyak manfaat khususnya dari segi pelaburan luar negara, kecekapan pentadbiran dan kemudahan infrastruktur digital selain seminar antarabangsa berkaitan digital dunia yang memberi banyak kesan positif dan manfaat kepada Sarawak.
“Sehingga kini, hampir semua sektor di negeri ini telah beralih kepada teknologi pintar dengan bertukar daripada ekonomi tradisional kepada ekonomi digital seperti sektor pertanian, pelancongan, bandar pintar, kesihatan, e-dagang, kerajaan digital, pengangkutan dan sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media pada Rabu yang menyokong penyambungan digital di seluruh Sarawak seperti diumumkan Ketua Menteri Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg pada Selasa.
Tambah Dr Hazland yang juga Ahli Lembaga Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS), penubuhan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dengan peruntukan awal sebanyak RM1 bilion membuktikan Sarawak komited untuk mentransformasi Sarawak kepada digital.
“Misalnya, Internet of Things (IoT), Kecerdasan Buatan (AI), Voice Recognition, Virtual and Augmented Reality (VR/AR), teknologi dron, e-dagang, e-commerce, e-dagang, cetakan 3D, e-wallet dan sebagainya kini merupakan sebahagian daripada kehidupan masyarakat Sarawak dan transformasi ke aras Revoluasi Industri 4.0.,” tambahnya.
Beliau turut menjelaskan, pada Peringkat Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat, kerajaan menggalakkan penggunaan teknologi digital sebagai alternatif bagi mengurangkan pergerakan dan sentuhan sekaligus membendung penularan wabak pandemik COVID-19.
“Misalnya pembayaran dan pesanan digital, sidang video secara maya, pembelajaran atas talian dan sebagainya. Sudah pasti, dengan kehidupan norma baharu ini, masyarakat akan terus mengguna dan mengaplikasi digital sebagai suatu perkara biasa yang perlu diikuti bagi menjamin kelangsungan hidup,” katanya.
Ujarnya lagi, pelaksanaan dasar Ekonomi Digital ini tidak hanya tertumpu kepada kawasan bandar, bahkan turut meliputi kawasan luar bandar sejajar dengan agenda menjadikan Sarawak sebagai negeri maju 2030 dan hab industri berteknologi tinggi.-Edisi UKAS
Sumber dari : Unit Komunikasi Awam Sarawak