JUN 2020

Pendekatan Awal Jana Semula Ekonomi Dan Pelancongan, S’wak Destinasi Selamat Dikunjungi


KUCHING: Sarawak melaksanakan pendekatan awal untuk jana semula ekonomi serta membangunkan sektor pelancongan, ekoran pandemik Covid-19.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ini kerana, sektor pelancongan merupakan salah satu sektor yang terjejas teruk ekoran penularan wabak itu.

“Pendekatan awal yang dilaksanakan ialah pelancongan secara dalaman (pelancongan domestik) dengan kerjasama negara jiran seperti Brunei dan Singapura, ” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat Jawatankuasa Perundingan, di sini hari ini.

Menurutnya, beliau memahami bahawa orang ramai risau mengenai keselamatan diri apabila melancong di Sarawak namun mereka perlu membina keyakinan bahawa Sarawak sebagai destinasi pelancongan yang selamat.

Justeru, katanya, bagi membina keyakinan pelancong mengenai langkah keselamatan di Sarawak, mana-mana agensi seperti hotel mematuhi prosedur operasi standard (SOP) selain menyediakan cecair pembersih tangan dan mengamalkan penjarakan sosial.

Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, mengenai persiapan atlet Sarawak ke Sukan Malaysia (SUKMA), mereka dibenarkan untuk menggunakan stadium sebagai tempat latihan dan kementerian sentiasa memantau perkembangan dari semasa ke semasa.

"Seperti sukan renang, saya telah memberitahu Perbadanan Sukan Negeri bahawa atlet negara dibenarkan untuk menggunakan pusat akuatik bagi menjalani latihan, " katanya sambil menambah pusat berkenaan masih lagi ditutup kepada orang ramai.

Justeru, katanya, ini adalah untuk mengekalkan kecergasan fizikal atlet negara dan sebagai persediaan untuk menghadapi SUKMA pada tahun hadapan.

Sumber dari : Jiwa Bakti