NOVEMBER 2020

Jabatan Hutan Sarawak Pelopor Teknologi Hiperspektral Pertama Di Malaysia


MIRI: Kerajaan Sarawak menerusi Jabatan Hutan Sarawak melakar sejarah apabila melancarkan Unit Pengesanan Udara Sarawak (SADU) yang beroperasi berasaskan teknologi "remote sensing" menerusi penggunaan hiperspektral yang pertama seumpamanya di Malaysia.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, SADU telah diberi mandat oleh kerajaan negeri untuk membantu dalam membanteras aktiviti pembalakan haram di Sarawak sehingga sekarang.

Jelasnya, ini menjadi titik tolak kepada SADU melangkah ke fasa seterusnya berasaskan kepakaran dan pengalaman unit ini dalam teknologi maju.

"Pelaksanaan projek ini amat signifikan kerana perkongsian aset, kepakaran dan sumber dikembangkan ke seluruh negara. 

"Perolehan projek sistem udara ini dilaksana secara turnkey (design dan build) dengan tiga buah negara iaitu Austria sebagai pembekal pesawat udara, Finland sebagai pembekal sensor hiperspektral, manakala Kanada sebagai pembekal sensor pemantauan udara," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media semasa pelancaran SADU di Pangkalan Operasi Sistem Udara di Hangar Hornbill Skyways di Miri petang tadi.

Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu, Jabatan Hutan Sarawak sebagai pelopor teknologi hiperspektral dalam kalangan agensi kerajaan di Malaysiamerupakan satu-satunya agensi kerajaan di dalam negara yang mempunyai keupayaan dan kemahiran menggunakan sistem udara berteknologi canggih tersebut. 

Tambah beliau, ia juga melibatkan pembangunan satu sistem udara yang direka khas yang dilengkapi teknologi berdasarkan keperluan misi seperti pemantauan dan pemetaan kawasan sumber asli. 

"Reka bentuk modular yang diterapkan dalam sistem ini membolehkan ianya disesuaikan dengan pelbagai muatan sensor dan mempunyai fleksibiliti untuk digabungkan dengan komponen sistem penyampaian maklumat dalam pelbagaipersekitaran operasi.

"Sistem udara ini merupakan asetKementerian Tenaga dan Sumber Asli dan Jabatan Hutan Sarawak sebagai agensi pelaksana," jelasnya.

Terdahulu, Ketua Menteri telah mendengar taklimat mengenai teknologi "remote sensing" menerusi penggunaan hiperspektral yang akan digunakan oleh SADU.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah, Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta tetamu kehormat lain. -EDISI UKAS

Sumber dari : Unit Komunikasi Awam Sarawak