NOVEMBER 2020

Sarawak, Australia Terokai Ekonomi Utama


KUCHING: Sektor perniagaan di Australia Barat dan Sarawak digesa supaya bekerjasama dan menerokai bidang ekonomi utama untuk kepentingan kedua-dua belah pihak.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kerjasama itu penting untuk menerokai potensi perniagaan di Austrlia Barat dan Sarawak.

Beliau berkata demikian semasa berucap bagi pihak Kerajaan Sarawak secara maya sempena pelancaran Laporan Kajian Pasaran Sarawak-Australia Barat, Perth, Australia hari ini.

Antara bidang berpotensi termasuk:

. Sokongan bersama oleh Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Australia Barat bagi penerbangan terus antara Kuching dan Perth bagi menyokong pembangunan industri pelancongan;

. Pelaburan dan kerjasama dalam industri pertanian antara Sarawak dan Australia Barat dan menggunakan ekonomi digital serta data pertanian;

. Pelaburan dan kerjasama dalam tenaga boleh diperbaharui antara Sarawak dan Australia Barat

. Kerjasama dalam pembangunan teknologi hidrogen dan membangunkan industri berasaskan hidrogen antara Sarawak dan Australia Barat dengan Kerajaan Sarawak menyokong pembangunan loji pengeluaran hidorgen bersepadu pertama di Asia Tenggara dan stesen pengisian dan memperkenalkan kereta pertama menggunakan tenaga hidorgen;

. Pelaburan dan kerjasama dalam industri air dan teknologi air antara Sarawak dan Australia Barat

. Pelaburan dan kerjasama dalam penjagaan warga emas antara Sarawak dan Australia Barat.

Pelancaran laporan itu disertai golongan profesional, ahli perniagaan tempatan, Presiden Majlis Perniagaan Asia di Perth, pegawai kanan kerajaan Australia Barat dan agensi utama Ketua Pengarah JTSI, Richard Sellers, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat USAsia Perth, Profesor Gordon Flake, Ketua Pelaburan dan Perdagangan Antarabangsa Dewan Perniagaan dan Perindustrian Australia Barat, Michael Carter dan Kuasa Usaha Malaysia di Perth dan Presiden AMBCWA.

Laporan itu dikumpul oleh Dewan Perniagaan Australia Malaysia di Australia Barat (AMBCWA) dengan sokongan Jabatan Pekerjaan, Pelancongan, Sains dan Inovasi pejabat Australia Barat (JTSI), Kuasa Usaha Malaysia di Perth, MIDA, MATRADE dan Squire Patton Boggs sebagai rakan korporat AMBCWA.

Penyediaan Laporan Kajian Pasaran Sarawak-Australia Barat itu ialah hasil lawatan Kerajaan Sarawak yang diketuai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri dan Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Negeri yang mewakili Kerajaan Sarawak serta wakil sektor perniagaan semasa Forum Perniagaan Malaysia diadakan di Perth pada 31 Oktober, 2019.

Matlamat Laporan Kajian Pasaran Sarawak-WA itu untuk menyediakan peluang pasaran komprehensif dan berpotensi serta peluang pelaburan di Sarawak dan Australia Barat.

Laporan kajian pasaran itu juga sebagai platform dan panduan bagi syarikat dan pertubuhan di Australia Barat sebagai persiapan lawatan perniagaan ke Sarawak akan datang, sejurus sekatan perjalanan ke luar negara ditarik balik.

Rancangan awal melawat ke Sarawak ialah pada Mac 2020 tetapi ditangguhkan akibat penutupan sempadan antarabangsa yang dilaksanakan Malaysia dan Australia. Setakat ini, 10 syarikat dan pertubuhan serta pegawai daripada Kerajaan Negeri Australia Barat mendaftar dan menaruh minat untuk menyertai misi perniagaan Australia Barat ke Sarawak.

Dijangkakan lebih banyak syarikat Australia Barat akan mendaftar dan menaruh minat untuk menerokai potensi peluang perniagaan di Sarawak.

Ketua Pengarah JTSI Australia Barat, Richard Sellers menzahirkan penghargaan atas minat mendalam yang ditunjukkan oleh Kerajaan Sarawak dalam menggalakkan perniagaan dan pelabur Australia Barat ke Sarawak.

Beliau sangat terharu komitmen ditunjukkan oleh Datuk Amar Awang Tengah yang  menyampaikan ucapan penting bagi pihak Kerajaan Sarawak sempena majlis pelancaran Laporan Kajian Pasaran Sarawak-Australia Barat.

Sumber dari : Jiwa Bakti