MEI 2020

Jalan Utama Kedua Impian Kerajaan GPS Demi Keselesaan Rakyat


KUCHING: Cadangan pembinaan Jalan Utama Kedua (STR) membabitkan kos RM6 bilion akan berfungsi sebagai jalan alternatif buat rakyat Sarawak.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Sarawak, Datu Len Talif Salleh berkata, ini kerana sekiranya salah satu Lebuhraya Pan Borneo dan jaringan jalan pantai terputus terutama ketika musim tengkujuh, maka STR berfungsi sebagai jalan alternatif.

Menurutnya, ia bukan projek yang diilham tanpa penelitian dari segi faedah menyeluruh atau projek mandiri yang lahir tanpa sebab kukuh.

“Ia adalah sebahagian dari visi besar kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dipimpin Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Abang Johari Tun Openg serta keberanian beliau dalam membuat pelaburan untuk masa depan Sarawak.

“Hasil dari visi besar ini akan berfungsi sebagai pemangkin untuk anak-anak dan cucu-cucu kita bersaing di pentas global yang semakin kompetitif pada masa akan datang,” jelasnya.

Sebagai rekod, kerajaan GPS telah menyusun projek-projek berikut dengan anggaran kos:

1.Rangkaian Jalan Pantai RM5.0 bilion
2. Jalan Trunk Kedua RM6.0 bilion
3. Program Grid Bekalan Air Sarawak RM4.0 bilion
4. Bekalan Elektrik Luar Bandar RM2.4 bilion
5. Projek Transformasi Luar Bandar RM2.0 bilion
6. Pembangunan Prasarana & Projek Kemudahan Di Bawah URDA, HDA, NRDA dan IRSDA RM6.0 bilion
7. Infrastruktur Digital RM1.5 bilion

Jumlah keseluruhan RM26.9 bilion

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang itu berkata, rancangan induk ini adalah menyeluruh dari segi skop dan aplikasinya, memberi manfaat kepada rakyat Sarawak.

“Jika Datuk Joseph Entulu mengatakan ini akan menjejaskan kewangan Sarawak, izinkan saya mengingatkannya dan rakan-rakannya bahawa projek-projek ini akan dilaksanakan dalam tempoh beberapa tahun seiring dengan aliran pendapatan dan rizab kita.

“Sekiranya dia mengatakan projek-projek ini harus ditangguhkan atas sebab apapun, pengalaman memberitahu kita bahawa projek itu akan menjadi lebih mahal.

“Sebagai Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar, seorang pengguna jalan Pan Borneo selama 40 tahun dan jalan pesisir selama 15 tahun dan juga seorang yang dibesarkan di kawasan luar bandar, saya memberi jaminan kepada Datuk Joseph Entulu dan rakan-rakannya dalam PSB bahawa kesejahteraan masyarakat di luar bandar tidak pernah hilang dari minda saya.

“Saya harap dia dan rakan-rakannya sekarang gembira atau paling tidak, kini lebih faham bahawa Kerajaan GPS menangani semua isu berkaitan bekalan air, letrik, jaluran telefon dan internet dan kemudahan perubatan penduduk luar bandar,” ujarnya.

Sumber dari : Jiwa Bakti