DARO: Ketua Menteri Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg pernah memberitahu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Safiee bin Haji Ahmad bahawa Jambatan Muara Lassa akan menjadi ‘game changer’ kepada masyarakat Daro.
Menurut Safiee, Jambatan Muara Lassa bukan sahaja akan mengubah sosiekonomi masyarakat Daro, tetapi juga landskap Daro itu sendiri secara keseluruhannya dengan pelbagai pembangunan dan prasarana akan masuk termasuk ekonomi.
“Dengan ada prasarana yang baik, Daro tidak akan terpisah lagi dengan dunia luar sama ada dengan negeri luar dan kawasan-kawasan luar.
“Jadi, kita perlu memanfaatkan sepenuhnya pembangunan-pembangunan yang akan datang dan yang sedang dilaksanakan di kawasan kita ini supaya ianya dapat memberi manfaat khususnya pulangan dari segi ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Program Roadshow Usahawan dan Seminar Juh! Halal 2020 anjuran Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) di Dewan KEMAS Daro pada Rabu.
Sementara itu, salah seorang peserta seminar Lati binti Haji Dolhan melahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak khususnya Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) di atas penganjuran Roadshow Usahawan dan Seminar Juh! Halal 2020 yang cukup bermakna kepada penduduk Daro.
“Ia memberi peluang kepada kami warga Matu-Daro untuk memajukan perniagaan kami ke lebih jauh lagi,” katanya.
Perkara ini turut disokong Mohd Suffian bin Haji Fauzi yang juga salah seorang peserta seminar dengan menjelaskan bahawa program sebegini sangat memberi makna kepada usahawan dan bakal usahawan yang terlibat dalam perniagaan.
“Seminar yang diadakan ini telah memberi banyak pendedahan yang berguna dan berfaedah kepada usahawan yang sedang atau bakal usahawan yang akan menjalankan pelbagai jenis perniagaan.
“Info-info yang diberikan cukup lengkap dan sangat berguna kepada usahawan ini untuk memperkembangkan lagi dan mempergiatkan lagi perniagaan mereka dalam pelbagai bidang terutama bidang makanan, bidang minuman, bidang pembuatan dan sebagainya,” ujarnya.
Sumber dari : Unit Komunikasi Awam Sarawak