SEPTEMBER 2020

“Jangan Bawa Isu Perkauman Ke Sarawak” - Fadillah


KUCHING: Sarawak meletakkan keutamaan negeri dan hak-hak yang harus diperjuangkan termasuk kesaksamaan agama demi menjaga keharmonian dan kerukunan rakyatnya.

Menteri Kerja Raya yang juga Naib Yang Di Pertua Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perjuangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah jelas dengan meletakkan kesaksamaan agama yang sentiasa diberi perhatian oleh Kerajaan Sarawak dan ini dibuktikan dengan penubuhan Unit Hal Ehwal Agama Lain (UNIFOR) yang diketuai Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah untuk melihat kepentingan agama-agama lain.

“Dengan penubuhan UNIFOR, kebajikan dan kepentingan agama lain dijaga. Dengan cara ini, rakyat Sarawak yang terdiri daripada berbilang kaum dan agama hidup aman, harmonis dan stabil yang dinikmati sejak dahulu lagi,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan susur gajah di Sekolah Kebangsaan (SK) Tan Sri Datuk Haji Mohamed di Taman Malihah.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.6 Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman dan guru besar serta kaki tangan sekolah itu.

Fadillah yang juga Menteri Kanan Infrastruktur berkata, isu perkauman mahupun sentimen agama tidak harus dibawa ke Sarawak kerana negeri ini sememangnya terkenal dengan sikap saling menghormati antara satu sama lain dan tolong-menolong yang membawa kepada kehidupan harmonis.

Katanya, jika ada Ahli Parlimen atau individu yang membawa isu sentimen seperti ini, ia adalah pandangan peribadi dan bukan pandangan parti.

“Oleh itu, saya meminta semua pihak supaya tidak memainkan sama ada isu perkauman mahupun agama di Sarawak kerana ini tidak mendatangkan keuntungan kepada mana-mana pihak.

“Sebaliknya, kita harus memastikan kerukunan dan keagamaan kaum dikekalkan kerana ia adalah kekuatan kita di Sarawak,” katanya.

Sumber dari : Jiwa Bakti