SEPTEMBER 2020

Sarawak Eksport Hingga 50,000 Tan Kanji Sagu Setahun


MUKAH: Sagu merupakan salah satu komoditi pertanian utama yang menyumbang kepada hasil pendapatan Sarawak.

Ketua Pegawai Eksekutif Craun Research, Zaidel Hussaini berkata, sebagai pengeluar utama sagu di Malaysia, Sarawak mengeksport di antara 40,000 hingga 50,000 tan kanji sagu setahun dengan nilai eksport di antara RM80 juta hingga RM90 juta.

“Di sebalik sumbangan yang ketara kepada sosioekonomi, masalah pencemaran alam sekitar berlaku akibat aktiviti pemprosesan kanji sagu telah memberi kesan buruk dan imej negatif terhadap industri sagu.

“Ini turut memberi kesan secara langsung kepada penduduk berhampiran sungai yang sebahagian besar bergantung kepada sungai sebagai sumber air, pendapatan dan laluan pengangkutan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat sempena lawatan Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud ke Loji Rintis Rawatan Sisa Cecair Sagu di Kampung Tabo, Mukah.

Katanya, CRAUN Research Sdn Bhd (CRAUN) dipertanggungjawabkan untuk membangun Projek Loji Rintis Rawatan Sisa Cecair Sagu sebagai jalan penyelesaian secara bersepadu ke atas pencemaran alam sekitar yang berpunca daripada sisa buangan sagu.

Zaidel memberitahu, projek loji rintis tersebut boleh mengurangkan kesan pencemaran alam sekitar dan mampu menjana pendapatan tambahan melalui produk tambah nilai daripada sisa buangan sagu.

“Ini akan meningkatkan nilai rantaian sagu serta menyumbang kepada kesejahteraan dan peningkatan taraf hidup penduduk luar bandar,” katanya.

Projek loji rintis yang terletak di Kampung Tabo, Mukah, Sarawak dibangunkan oleh CRAUN melalui usahasama dengan Nitsei Sago Industries Sdn Bhd dan mula beroperasi pada Mei 2019.

Loji rintis ini adalah pertama seumpamanya di Malaysia dan yang pertama di negara-negara pengeluar kanji sagu dunia.

Sumber dari : Jiwa Bakti