APRIL 2021

Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan Diwujud Semula


KUCHING: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zaindudin bersetuju mewujudkan semula Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan Peringkat Negeri Sarawak di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.

Mulai tahun ini, Jawatankuasa Khas itu dipengerusikan bersama oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato Dr Ismail Mohamed Said dan Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Fatimah berkata, kementeriannya akan mengadakan lebih banyak program kesedaran berkaitan isu yang boleh menyebabkan masalah kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.

Fokus program kesedaran itu ialah di kawasan pedalaman yang kurang akses kepada perkhidmatan kerajaan, katanya dalam satu kenyataan hasil mesyuarat Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan Peringkat Negeri Sarawak di Putrajaya semalam.

Mesyuarat seterusnya akan diadakan pada Mei 2021, di Kuching dan akan diadakan setiap bulan sehingga didapati bilangan permohonan sudah berkurangan, katanya dan menambah, jawatankuasa itu hanya memperakukan syor permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan dan keputusan muktamad terletak pada Menteri Dalam Negeri.

Menurut Fatimah, antara yang dibincangkan pada mesyuarat itu ialah pembentangan terma rujukan baharu untuk Jawatankuasa Khas Status Kewarganegtaraan Perkara 15A di peringkat Sarawak dan menyemak, menilai dan memperakukan syor permohonan kewarganegaraan dari Sarawak di bawah 15A Perlembagaan Persekutuan.

“Pada mesyuarat itu, sebanyak 101 kes permohonan dari Sarawak dari 2019-2020 diketengahkan. Permohonan sebelum 2019 dilakukan oleh panel sebelum ini diangkat untuk tindakan muktamad Menteri Dalam Negeri,” katanya.

Sumber dari : Sarawakku