APRIL 2021

Semua Sekolah Dalam Zon Merah Di Sarawak Ditutup Dua Minggu, PKPD Diteruskan Secara Bersasar


KUCHING: Semua sekolah termasuk tadika dan prasekolah yang berada dalam kawasan Zon Merah di Sarawak ditutup selama dua minggu bermula Selasa, 20 April 2021.

Menurut Ketua Menteri, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, langkah tersebut diambil kerana terdapat jangkitan COVID-19 di beberapa sekolah yang dikhuatiri boleh menular kepada para pelajar, ibu bapa serta guru.

“Saya telah memutuskan untuk semua sekolah ditutup di kawasan merah mulai esok kerana kita nampak ada jangkitan di kawasan sekolah yang boleh menjangkiti ibu bapa, pelajar dan guru.

“Demi kesihatan anak dan juga masyarakat, Kerajaan Sarawak telah memutuskan untuk menutup semua sekolah di kawasan merah,” katanya dalam Sidang Media Khas Penguatkuasaan SOP COVID-19 di Bangunan Wisma Bapa Malaysia pada Isnin.

Dalam sidang media sama, Ketua Menteri berkata beliau telah meluluskan penubuhan sekumpulan pakar untuk membentuk Kumpulan Penasihat COVID-19 Sarawak (SCOVAG).

Katanya, SCOVAG berperanan memastikan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak sentiasa dikemaskini mengenai berita vaksin global, menyelidik dan memberi nasihat kepada Kerajaan Negeri mengenai vaksin yang sesuai untuk orang Sarawak dan menubuhkan Pasukan Petugas Pelalian COVID-19 (CITF) untuk menyelaras kesiapsiagaan Vaksin COVID-19.

“Kerajaan Sarawak sentiasa bersedia untuk membantu dengan Pelan Imunisasi Nasional untuk mempercepatkan rancangan roll-out nya.

“Untuk pembekalan vaksin, saya telah memberi lampu hijau kepada Sarawak untuk membeli vaksin yang mencukupi untuk mempercepat liputan imunisasi bagi rakyat Sarawak.”

Jelas Ketua Menteri, Menteri Teknologi dan Inovasi Sains, Khairy Jamaluddin telah memberi jaminan akan menyokong usaha untuk mempastikan pembekalan vaksin yang mencukupi untuk Sarawak sejajar dengan matlamat menyelesaikan rancangan vaksinasi pada akhir Ogos di negeri ini.

Ketua Menteri menambah JPBN Sarawak juga telah memutuskan untuk terus melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di daerah yang disasarkan kerana langkah tersebut terbukti berkesan di rumah panjang, kawasan kejiranan dan tempat kerja sebelum ini.

Menurutnya, Kerajaan Negeri tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana kesukaran dari segi penguatkuasaan selain membebankan banyak industri dan boleh menyebabkan ramai orang hilang pekerjaan.

Tambahnya, agensi penguatkuasaan seperti PDRM, UKPN, ATM, APM dan RELA juga diarahkan untuk mengetatkan kawalan perjalanan rentas daerah yang menjadi antara penyumbang peningkatan kes COVID-19.

“Pergerakan rentas antara daerah juga merupakan penyumbang utama penularan COVID-19. Setakat ini, terdapat 506 kes positif yang dikesan dan 8 kluster muncul kerana perjalanan rentas antara daerah (Import C) sejak Januari 2021.

“Oleh itu, mulai hari ini, hanya perkhidmatan penting yang dibenarkan melintasi zon dengan kebenaran polis,” ujar Ketua Menteri lagi.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak Dato Sri Prof. Dr. Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Jaul Samion, Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan Dewan Bandaraya Kuching Utara) & Menteri Muda Bekalan Air Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi dan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail. – EDISI UKAS

Sumber dari : Unit Komunikasi Awam Sarawak