MAC 2021

Kerajaan GPS Laksana Projek Pembangunan Infrastruktur


MATU: Kerajaan Sarawak sentiasa mencari jalan bagi memaksimumkan pembangunan di kawasan luar bandar demi kepentingan negeri dan kesejahteraan rakyat.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diketuai Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kini sedang melaksanakan pelbagai projek pembangunan infrastruktur.

"Oleh sebab itu, kerajaan perlu mengambil balik tanah sama ada ia melibatkan tanah berhak milik atau tertakluk tuntutan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).

"Kerajaan tidak mengambil tanah secara percuma, sebaliknya tanah yang diambil berdasarkan kepada peruntukan sedia ada dalam Kanun Tanah Negeri (KTN) dan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan," ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap menyerahkan pampasan berjumlah RM2.9 juta kepada seramai 144 pemilik tanah yang terlibat dalam pelbagai projek pembangunan kerajaan, hari ini.

Projek pembangunan tersebut ialah pembinaan Jalan Sungai Passin/Matu, Jambatan Batang Igan, Kuala Igan, Jalan Sungai Bidut/ Kampung Tutus/ Kampung Sebedil/ Kampung Bungan Kecil, Mukah (Pakej A & B).

Pada majlis tersebut, Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian dan Usahawan turut menyerahkan surat kelulusan kepada 185 penerima bagi Skim Pembesaran Kampung (SPK) SPK Jemoreng Fasa 1, SPK Tian dan SPK Igan.

Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II itu memberitahu, SPK merupakan usaha kerajaan menyediakan lot kediaman yang selesa, terancang dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas seperti rangkaian jalan, sistem perparitan, bekalan air serta bekalan elektrik.

“Inisiatif baharu kerajaan dalam SPK untuk mengurangkan kadar premium sebanyak 50 peratus bagi lot kediaman di semua SPK adalah tidak melebih RM2,500 se lot. Ia untuk meringankan beban rakyat berpendapatan rendah menyelesaikan pembayaran premium,” jelasnya.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya dan ADUN Daro, Safiee Ahmad.

Sumber dari : Jiwa Bakti