APRIL 2020

Kebenaran Bergerak Dari Daerah Ke Daerah Perlu Dapatkan Dari Balai Polis Berdekatan


KUCHING: Jika sebelum ini kelulusan untuk bergerak dari daerah ke daerah perlu mendapatkan kelulusan dari Pejabat Daerah.

Bagaimanapun, menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkuatkuasa 3 April, kelulusan ini perlu diperolehi di Balai Polis berdekatan.

“Pada sesiapa yang sebelum ini telah mendapatkan kelulusan dari Pejabat Daerah, bermula 3 April hendaklah disahkan semula di Balai Polis berdekatan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media COVID-19 Sarawak di Wisma Bapa Malaysia pada Khamis.

Dalam perkembangan yang sama, Datuk Amar Douglas menjelaskan penduduk di kawasan luar bandar diberikan kelonggaran dalam menggunapakai Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit: Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Prevention and Control of Infectious Diseases: Measures Within Infected Local Area).

“Seksyen 4 (1) Jika seseorang bergerak dari suatu tempat ke tempat yang lain di dalam mana-mana kawasan tempatan jangkitan atau dari satu kawasan tempatan jangkitan ke suatu kawasan tempatan jangkitan yang lain.

"Untuk membeli makanan, keperluan harian, ubat atau penokok diet, pergerakannya hendaklah hanya, ke suatu tempat di dalam radius yang tidak melebihi sepuluh (10) kilometer dari kediamannya, atau ke suatu tempat yang paling hampir dengan kediamannya, dan dia tidak boleh disertai mana- mana orang lain, melainkan jika adalah semunasabahnya perlu baginya untuk disertai mana-mana orang lain.

"Untuk mendapatkan perkhidmatan jagaan kesihatan atau perubatan, pergerakannya hendaklah hanya, ke suatu tempat di dalam radius yang tidak melebihi sepuluh (10) kilometer dari kediamannya, atau ke suatu tempat yang paling hampir dengan kediamannya, dan dia boleh disertai mana-mana orang lain yang semunasabahnya perlu,” katanya.

Ini katanya, di kawasan pedalaman sukar untuk menemui klinik atau kedai dalam jarak 10 kilometer dan atas alasan ini penduduk di kawasan luar bandar diberikan kelonggaran berdasarkan kepada situasi kawasan itu. -Edisi UKAS

Sumber dari : Unit Komunikasi Awam Sarawak