(KENYATAAN MEDIA hari ini oleh Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Menteri Muda Undang-Undang, Perhubungan Persekutuan-Negeri dan Pemantauan Projek)
Kerajaan Negeri Sarawak dan Pengawal Cukai Jualan Negeri telah menarik balik kes sivil yang telah difailkan terhadap Petronas bagi tujuan menuntut semula Cukai Jualan Negeri berjumlah sebanyak RM 1.3 billion bagi tempoh Januari ke Jun 2019, termasuk denda untuk pembayaran lewat dan faedah.
Petronas juga telah menarik balik Tuntutan Balas saman mereka terhadap Kerajaan Negeri dan Pengawal Cukai Jualan Negeri di atas Kesalahan mengenakan Cukai Jualan ke atas produk petroleum bagi tempoh tersebut.
Petronas telah memberikan pengesahan bertulis bahawa Cukai Jualan untuk produk petroleum akan dibayar oleh tujuh (7) anak syarikatnya, termasuk Petronas Carigali Sdn Bhd, yang terlibat secara langsung dalam penjualan petroleum di Sarawak. Anak-anak syarikat ini, yang telah dikenalpasti dan disahkan oleh Petronas, sedang dalam proses didaftarkan dengan Pengawal Cukai Jualan Negeri sebagai orang yang boleh dikenakan cukai dan bertanggungjawab membayar Cukai Jualan kepada Kerajaan Negeri. Proses pendaftaran ini akan selesai pada 15 Ogos 2020.
Pengawal Cukai Jualan Negeri kini sedang membuat penilaian jumlah Cukai Jualan yang harus dibayar oleh setiap anak syarikat untuk Tahun 2019 berdasarkan rekod jumlah sebenar produk petroleum yang telah dijual oleh mereka dan juga pengisytiharan nilai penjualan yang diberikan oleh anak syarikat ini. Penilaian tersebut akan dibuat oleh Pengawal Cukai Jualan Negeri mengikut peruntukkan-peruntukkan di bawah Ordinan Cukai Jualan Negeri 1998 dan Peraturan-Peraturan Cukai Jualan Negeri 1998. Tidak ada potongan atau pengecualian yang akan diberikan.
Petronas telah memberi jaminan bertulis bahawa anak-anak syarikat ini akan membayar Cukai Jualan setelah jumlah Cukai dinilai.
Dengan penarikan Rayuan Petronas terhadap keputusan Mahkamah Tinggi ini, maka isu hak Negeri untuk mengenakan Cukai Jualan ke atas produk petroleum akhirnya dapat diselesaikan. Kerajaan Negeri sekarang akan bekerjasama dengan Petronas dan memberi tumpuan untuk memperkuatkan PETROS dan memastikan penyertaan orang Sarawak dan Syarikat-Syarikat Sarawak dalam sektor Minyak dan Gas.
Sumber dari : Sarawakku