KUCHING: Mereka yang dikenakan kuarantin di rumah oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) digesa mematuhi arahan ini demi keselamatan orang lain di sekeliling.
Ketua Menteri Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg berkata, jika ingar ianya akan menjangkiti dan membabitkan orang lain disebabkan virus COVID-19 ini tidak boleh dilihat.
“Sebab itulah kita ada program kita sendiri di mana ianya berbeza dengan cara di Semenanjung kerana kita daripada menguruskan bencana ini.
“Nasib baik kita mempunyai kuasa kita sendiri di bawah Perlembagaan Prevention and Control of Infectious Diseases yang merupakan tanggungjawab dan undang-undang kita.
“Sebab itu, saya bekerjasama dengan jawatankuasa ini yang akhirnya apa yang penting ialah kita dengan cara kita sendiri.
“Saya mengucapkan tahniah kepada Datuk Amar dan pasukannya kerana dapat menguruskan dengan begitu bijak hal COVID-19 ini di Sarawak,” katanya pada Majlis Pelancaran “Kepolisan Komuniti” Inisiatif di Wisma Bapa Malaysia pada Jumaat.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, Kerajaan Sarawak terpaksa tegas dalam menerima kehadiran dari Semenanjung dengan menegaskan perlunya mereka ini dikuarantin secara automatik.
“Ini kerana apabila di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) diperiksa keputusannya negatif. Apabila datang ke Sarawak dan diperiksa semula didapat keputusan positif COVID-19.
“Inilah yang menyebabkan Sarawak tegas dalam memantau dan menangani penularan COVID-19 di setiap pintu masuk ke Sarawak.
“Minta maaf kerana Sarawak terpaksa tegas dalam soal COVID-19. Atas sebab itu, mereka yang datang dari Semenanjung terpaksa kuarantin secara automatik.
“Kerana bagi saya, nyawa orang Sarawak tok lebih penting,” tambahnya.
Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri-Menteri, Setiausaha Kerajaan Negeri dan Menteri-Menteri Muda. -Edisi UKAS
Sumber dari : Unit Komunikasi Awam Sarawak