KUCHING: Kerajaan Sarawak menyalurkan peruntukan sebanyak RM70 juta untuk menampung kos pembinaan Kompleks Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) di Jalan Ong Tiang Swee.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah berkata, Kerajaan Sarawak juga menyediakan tapak seluas 1.2 hektar kepada UNIFOR bagi tujuan pembinaan kompleks 10 tingkat tersebut.
“Pembinaan kompleks jelas menunjukkan dasar inklusif yang diamalkan kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
“Kita sangat menghargai dasar inklusif Ketua Menteri dalam menjaga kebajikan rakyatnya.
"Bagi pihak semua agama bukan Islam di negeri ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Abang Johari atas keprihatinannya kepada kita semua,” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas mengetuai ahli jawatankuasa melawat tapak projek pembinaan Kompleks UNIFOR pagi tadi.
Uggah memberitahu , upacara pecah tanah untuk pembinaan kompleks tersebut bakal diadakan pada September depan.
Kompleks yang mempunyai pusat konvensyen itu turut mempunyai bangunan hijau dan teknologi pintar, termasuk stesen pengisian kenderaan elektrik.
"Pihak jawatankuasa juga telah mendapatkan persetujuan daripada pihak kerajaan untuk perancangan bangunan yang dibina," ujarnya lagi.
Uggah diberi taklimat mengenai reka bentuk bangunan yang dirancang oleh arkitek, David Ong.
Turut hadir ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Penguang Manggil, Timbalan Menteri Pembangunan Tanah Asli, Datuk Roland Sagah, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Samion dan Ahli Dewan Undangan Negeri Tellian, Yussibnosh Balo.
Sumber dari : Jiwa Bakti