SEPTEMBER 2020

Kerajaan Akan Ambil Alih Aset Tabung Haji Di Sarawak


BETONG: Kerajaan Sarawak akan mengambil alih ladang kelapa sawit Tabung Haji di kawasan Saribas dan Simunjan setelah selesai perundingan antara kedua-dua pihak, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Haji Johari Tun Abang Haji Openg di sini pagi tadi.

Perjanjian pengambil alihan tersebut akan dimeterai dalam masa terdekat, ujar beliau dalam ucapan perasmian konvensyen khas PBB bagi Zon Betong bertempat di Dewan Tan Sri Stephen Kalong Ningkan di sini. 

“Bagi saya tiga bulan,” ujar beliau sebelum pengambil alihan ditandatangani antara TH dan pihak Kerajaan Sarawak. 

Menurut laporan The Edge, Tabung Haji telah mengenal pasti 77,000 ha asetnya yang akan dilepaskan di Sarawak dengan nilai keseluruhan sebanyak RM1.42 bilion. 

Persidangan bagi Zon Betong merupakan siri kedua selepas siri pertama bagi Zon Miri dan akan diikuti oleh Zon Sibu dan Zon Kuching.

Turut berucap Timbalan Pengerusi PBB, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak dan Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah.

Sumber dari : Sarawakku