FEBRUARI 2020

Kerajaan GPS Komited Bantu Rakyat


KUCHING: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, sentiasa komited dalam membantu rakyat Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri N.6 Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman berkata, pelbagai bantuan telah diberikan kepada semua golongan rakyat Sarawak bermula daripada anak yang baharu lahir sehingga kepada golongan warga emas.

"Bantuan yang diberikan termasuklah 'Endowment Fund Sarawak' untuk anak yang baharu lahir, Insentif Ibu Bersalin untuk ibu menyediakan keperluan selepas bersalin dan Kenyalang Gold Card untuk warga emas," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Taklimat dan Khidmat Pendaftaran 'Kenyalang Gold Card' di Dewan Serbaguna, Kampung Pinang Jawa di sini, hari ini.

Fazzrudin berkata, terdapat sembilan tonggak utama yang difokuskan di bawah Kerajaan GPS.

"Salah satu tonggak yang amat bermakna untuk rakyat adalah membangunkan kesejahteraan dan kemajuan Sarawak," katanya.

Menurutnya, pelbagai inisiatif telah diusahakan untuk memastikan pembangunan di Sarawak dapat dinikmati semua lapisan masyarakat.

"Pembangunan bukan sahaja melibatkan infrastruktur atau prasarana, malah dalam bentuk kebajikan dan kesejahteraan rakyat," katanya.

Beliau berkata, semua perancangan dan pembangunan Kerajaan GPS ini adalah untuk meringankan beban rakyat dan memberi kemudahan kepada semua golongan masyarakat di Sarawak.

Sumber dari : Jiwa Bakti