KUALA LUMPUR: Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) yang bernilai RM20 bilion dengan suntikan fiskal baharu berjumlah RM11 bilion yang diumumkan oleh Kerajaan baru-baru ini memberi fokus kepada kontraktor G1 hingga G4 bagi projek penyenggaraan seperti pembaikan infrastruktur dan fasiliti awam.
Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, bagi tahun 2021, Kementerian Kerja Raya (KKR) menerima peruntukan penyenggaraan RM1.3 bilion untuk melaksanakan kerja-kerja penyenggaraan di bawah program khusus seliaan KKR.
KKR juga mendapat peruntukan belanja tambahan sebanyak RM200 juta untuk penyenggaraan jalan persekutuan di bawah penyenggaraan kecil, katanya melancarkan Program Pembangunan Kontraktor (PPKP) di sini.
Peruntukan itu dikhaskan untuk Program Pembangunan Kontraktor Penyenggaraan (PPKP) bagi penyenggaraan kecil di jalan persekutuan untuk kontraktor G1 hingga G4 pada tahun ini, katanya dan menambah, ia dipecahkan kepada RM100 juta di Semenanjung dan RM100 juta di Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Program itu, kata Fadillah, akan menjadi intervensi strategik antara kerajaan dan syarikat konsesi penyenggaraan bagi memberi ruang dan peluang kepada kontraktor kecil bergiat aktif dalam penyenggaraan jalan persekutuan.
Beliau berharap menerusi program itu akan dapat membantu kontraktor kecil menjana pendapatan dalam situasi ekonomi negara yang mencabar dan memastikan kerja-kerja penyenggaraan dilaksanakan dengan berkualiti sepanjang masa.
Sumber dari : Jiwa Bakti