DISEMBER 2019

Perluaskan Pusat Penyelidikan Pertanian Di Seluruh Sarawak


KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas menggesa Jabatan Pertanian untuk menubuhkan lebih banyak Pusat Penyelidikan Pertanian (ARC) serantau di seluruh negeri Sarawak.

Beliau berkata, Jabatan Pertanian kini hanya mempunyai satu Pusat Penyelidikan Pertanian yang berpusat di Semongok, Kuching.

Menurutnya, pusat penyelidikan tersebut tidak mampu lagi memenuhi keperluan pemindahan teknologi serta memberi khidmat nasihat teknikal kepada komuniti pertanian yang bertaburan di seluruh negeri memandangkan keperluan semasa untuk mempercepatkan sektor pertanian yang moden dan komersial di negeri ini.

“Tambahan pula, setiap kawasan mempunyai keadaan agro-iklim yang unik untuk tanaman tertentu yang lebih sesuai. Oleh itu, saya mahu jabatan mempercepatkan penubuhan penyelidikan serantau di wilayah utara, tengah dan selatan,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah menambah, buat masa ini kerajaan berhasrat untuk menaiktaraf Stesen Pertanian Kabuloh di Miri menjadi stesen penyelidikan pertanian bagi wilayah utara.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya yang dibacakan oleh Menteri Muda Pertanian, Dr Abdul Rahman Ismail pada Majlis Perasmian Mesyuarat Kemajuan Pegawai Penyelidik (ROPM) Jabatan Pertanian di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau turut menyarankan pegawai penyelidik agar memastikan setiap projek penyelidikan dan pembangunan pertanian mereka selari dengan matlamat kerajaan untuk menjadi pengeksport makanan bersih menjelang tahun 2030.

“Kita perlu memanfaatkan teknologi pertanian moden di samping memastikan teknologi yang diguna pakai sesuai dengan agro-iklim kita. Ini termasuk penekanan kepada penggunaan teknologi pertanian digital untuk menarik lebih ramai usahawan dan belia menceburi bidang pengeluaran makanan,” ujarnya lagi.

Sumber dari : TV Sarawak