SEPTEMBER 2020

Sarawak Pay: RM 1/2 Bilion Transaksi, 440k Pengguna


SIBU: Nilai transaksi terkumpul Sarawak Pay setakat ini ialah RM588 juta dengan jumlah transaksi sebanyak 13.8 juta, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Johari Tun Abang Haji Openg di sini sebentar tadi. 

Sebanyak 64,254 peniaga di seluruh Sarawak telah berdaftar untuk menggunakan platform e-wallet tersebut dengan jumlah pengguna sebanyak 443,396.

Beliau menyatakan demikian dalam ucapan ketika merasmikan pelancaran Sarawak Pay untuk Central Market di sini. 

Datuk Patinggi Abang Haji Johari berkata apabila mula-mula dilancarkan orang ramai agak sangsi dengan penggunaanya namun kini Sarawak Pay sudah menjadi aplikasi pembayaran tanpa tunai yang popular.

Pusat penjaja yang terbesar di Sarawak ini yang juga dilengkapi dengan wi-fi percuma telah menyaksikan pendaftaran seramai 800 peniaga, jumlah pengguna Sarawak Pay terbesar bagi mana-mana pasar basah di Sarawak.

Sambutan para peniaga di Central Market ini amat menggalakan, kata Datuk Bandar Sibu, Clarence Ting yang turut berucap dan unsur pembayaran tanpa tunai ini yang amat digemari oleh para pengguna ialah potongan atau “cash back reward” yang diberikan bagi setiap pembayaran, ujar beliau.

Turut hadir Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dato Sri Professor Dr. Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Samion dan Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Dr. Annuar Rapa’ee.

Sumber dari : Sarawakku