Ogos 2019

Kerajaan GPS Lulus Peruntukan RM11 Juta Keperluan Bahasa Inggeris


SIBU: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) meluluskan peruntukan sebanyak RM11 juta untuk keperluan bahasa Inggeris di negeri ini.

Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Dr Annuar Rapa’ee berkata, peruntukan itu untuk menjalankan kursus khas bahasa Inggeris untuk guru-guru mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik tahun satu.

“Apabila kita mohon peruntukan RM11 juta bagi mengadakan kursus khas untuk guru-guru Tahun 1 tahun depan daripada Kerajaan Persekutuan.

“Mereka (Kerajaan Persekutuan) cakap tidak cukup duit untuk bagi peruntukan walaupun mereka yang suruh kita buat program pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris mulai tahun depan.

“Kita bersetuju untuk melaksanakan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dan kerajaan negeri meluluskan RM11 juta untuk keperluan itu isu bahasa Inggeris tersebut,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Pakaian Seragam Sekolah Yayasan Sarawak di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Sungai Merah, di sini hari ini.

Katanya, penguasaan dalam bahasa Inggeris amat penting kerana kebanyakannya memerlukan bahasa antarabangsa itu bukan sahaja dari segi mendapat pekerjaan, malah dari segi mendapat ilmu,

“Saya meminta ibu bapa supaya jangan salah anggap bahawa ini lebih menyusahkan anak-anak kita di luar bandar, ia sebenarnya adalah tidak menyusahkan,” ujarnya.

Seramai 1,443 pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah di bahagian Sibu menerima baucar pakaian seragam sekolah.

Sumber dari: Jiwa Bakti