APRIL 2020

Kerajaan Sarawak Ambil Inisiatif Bantu Petani Beli Hasil Jualan


MIRI: Sejak arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lepas, telah memberi kesan kepada pendapatan pekebun dan petani disebabkan kekurangan permintaan hingga menyebabkan lambakkan hasil pertanian yang tidak dapat dijual.

Dalam usaha mengatasi masalah ini, Kerajaan Sarawak telah mengambil inisiatif dengan membeli kesemua hasil jualan pekebun dan petani di sekitar Miri yang dijual secara borong.

Tinjauan wartawan Buletin UKAS di Pusat Pengumpulan dan Penghantaran Pejabat Pertanian Daerah Miri petang semalam mendapati ramai pekebun sekitar Miri telah menghantar hasil tani ke pusat pengumpulan ini untuk dijual secara borong.

Antara hasil tani yang dihantar ke pusat pengumpulan ini ialah sayuran berdaun seperti kangkung dan sawi, peria, pisang, honey dew, tembikai, buah salak dan timun.

Menurut Alek Ding, pegawai yang bertanggungjawab untuk menyelaras pembelian ini memaklumkan bahawa rata-rata petani berpuas hati dengan usaha Kerajaan Sarawak membantu nasib golongan petani yang terjejas pada waktu sukar ini.

Berikut adalah harga borong bagi produk hasil tani di Pusat Pengumpulan Pejabat Pertanian Daerah Miri :

1. Cili RM5/kg
2. Nanas RM2.50/biji
3. Limau Manis RM4/kg
4. Tembikai RM1/kg
5. Honey Dew RM3/kg
6. Pisang RM1.20/kg
7. Rock Melon RM3/kg
8. Umbisi RM1.70 kg
9. Limau Kasturi RM1.60/kg
10. Kacang Panjang/ Peria/ Bendi/ Timun/ Terung/ Tomato RM3/kg
11. Semua jenis sayuran berdaun RM2.50/kg

Hari pembelian adalah pada setiap Selasa dan Khamis.

Bagi orang ramai yang mempunyai pertanyaan boleh menghubungi Pusat Pengumpulan (Penghantaran) Pejabat Pertanian Daerah Miri di nombor 085-432969. -Edisi UKAS

Sumber dari : Unit Komunikasi Awam Sarawak