MEI 2021

Kerajaan Sarawak Belanja RM242 Juta Tangani COVID-19: Abg Johari


BINTULU (Rabu): Kerajaan Sarawak telah membelanjakan sejumlah RM242 juta setakat ini untuk menguruskan pandemik COVID-19, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Haji Johari Tun Abang Haji Openg.

Perbelanjaan tersebut adalah termasuk kos kuarantin, bekalan makanan dan pembelian peralatan, kata beliau pada sidang media selepas menghadiri taklimat mengenai pengurusan COVID-19 di sini pagi tadi.

“Ini tidak termasuk BKSS (berjumlah RM2.6 billion),” jelas beliau kepada pemberita.

Pada tahun 2020 sejumlah RM91 juta telah dibelanjakan dan pada tahun ini setakat Mei RM151 juta, jelas beliau lagi.

Pada sidang taklimat tersebut Datuk Patinggi Abang Haji Johari telah meluluskan permohonan peruntukan kewangan berjumlah RM1.3 juta daripada Hospital Bintulu dan Jabatan Kesihatan Bintulu untuk perolehan bagi pelbagai jenis peralatan.

Beliau juga bersetuju Kerajaan Sarawak akan membiayai pembinaan sebuah blok interim secara pasang siap di perkarangan hospital Bintulu untuk mempertingkatkan kapasiti katil di hospital tersebut yang juga menerima pesakit daripada Dalat, Mukah dan Belaga. 

Mengenai pengurusan COVID-19 di Bintulu beliau berpuashati dengan langkah-langkah yang telah dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bintulu bagi mengekang penularan jangkitan

Walaupun tidak popular langkah-langkah berkenaan telah berjaya menurunkan jumlah kes harian, ujar beliau.

Bersempena dengan Gawai Dayak, Datuk Patinggi Abang Haji Johari menyatakan beliau telah mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri supaya tidak mengeluarkan lesen laga ayam (sabong ayam) sebagai langkah tambahan menangani COVID-19 semasa musim perayaan.

Taklimat telah disampaikan oleh Residen Bintulu, Pegawai Kesihatan Bintulu, Pengarah Hospital Bintulu dan Ketua Polis Daerah Bintulu. 

Turut hadir Menteri Utiliti, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dato Sri Profesor Dr. Sim Kui Hian, Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Ombudsman dan Integriti), Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing yang juga Duta Khas Malaysia ke China dan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, Datuk John Sikie Tayai.

Sumber dari : Sarawakku