MEI 2021

Pengurusan Pusat Pemberian Vaksin Stadium Perpaduan Lebih Sistematik, Teratur - Uggah


KUCHING: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Stadium Perpaduan di sini wajar dijadikan contoh kepada semua PPV di negeri ini, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Menurut beliau, pusat tersebut kini telah dinaik taraf dan lebih sistematik dengan wujudnya pembahagian laluan untuk warga emas, orang kelainan upaya (OKU) serta laluan orang awam.

"Jika dilihat, sistem di sini kini amat berbeza berbanding beberapa minggu yang lalu kerana ia lebih teratur dan sistematik seperti berada dalam sebuah hospital kerana mempunyai papan tanda, laluan khas dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian setelah mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Stadium Perpaduan Negeri Sarawak di sini, hari ini. 

Uggah menambah, pengurusan sistematik di PPV tersebut akan memberi keselesaan kepada orang ramai yang datang untuk mendapatkan suntikan selain dapat melancarkan program vaksinasi di Sarawak.

Katanya, beliau amat berpuas hati dengan pelaksanaan sistem baharu di PPV di sini dengan adanya sistem penomboran elektronik dan papan tanda arah yang jelas.

Sementara itu, Uggah turut memohon maaf berhubung insiden potong barisan oleh orang kenamaan (VIP) ketika menerima suntikan vaksin baru-baru ini hingga mencetuskan kemarahan orang ramai.

Tegasnya, beliau memberi jaminan bahawa isu tersebut tidak akan berulang lagi dengan adanya penambahbaikan sistem pengurusan di PPV tersebut.

Sumber dari : Jiwa Bakti