BINTULU: Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan sebanyak RM3.66 juta bagi membantu Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu dalam memerangi penularan COVID-19.
Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, beliau telah dimaklumkan oleh JPBB Bintulu mengenai pelaksanaan ‘surveillance’ atau pengawasan untuk mengekang penularan COVID-19 di bahagian tersebut.
Beliau menambah, beberapa langkah telah diambil bagi memutuskan rantaian wabak COVID-19 di Bintulu.
“Kita sedia maklum bahawa dalam masa dua bulan lepas angka kes positif amat membimbangkan tetapi dengan beberapa langkah yang dibuat oleh pihak jawatankuasa, kita dapat mengawal angka yang terlibat di bahagian Bintulu ini.
“Kita mendapati bahawa kes positif COVID-19 di Bintulu sebanyak 44 kes sahaja dan ini disebabkan oleh intervensi penguatkuasaan SOP yang agak ketat menyebabkan penurunan kes,” katanya pada sidang media selepas Sesi Taklimat Khas Situasi Pandemik COVID-19 di Bintulu di sebuah hotel di sini pada Rabu.
Hadir sama, Menteri Utiliti Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab Bagi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Bintulu, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Duta Khas Perdana Menteri ke Republik Rakyat China yang juga Ahli Parlimen Bintulu, Dato Seri Tiong King Sing, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Dato Sri Prof Dr Sim Kui Hian, Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Intergriti dan Ombudsman), Datuk Talib Zulpilip, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion, Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang Undang dan Adat Bumiputera), Datuk John Sikie Tayai, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Chin Zin Hing, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Aidi Ismail, Residen Bahagian Bintulu, Jack Aman Luat dan pegawai-pegawai lain.
Selain itu, beliau menyeru ketua kaum dan tuai rumah untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang akan dilaksanakan pada Hari Gawai Dayak yang akan datang.
Selain itu, Kerajaan Sarawak juga telah meluluskan RM5 juta bagi kelengkapan yang diperlukan oleh Jabatan Kesihatan Bahagian Bintulu.
Dalam sidang media yang sama, Ketua Menteri juga memberitahu bahawa kerajaan negeri akan mengambil langkah gazet hospital swasta untuk melaksanakan pemberian vaksin terutamanya di kawasan bandar.
Tambahnya lagi, syarikat-syarikat yang ingin memberi suntikan vaksin kepada kakitangannya juga boleh berhubung dengan hospital yang telah diluluskan.
“Pihak syarikat korporat yang bercadang memberikan vaksin kepada pekerja mereka boleh berhubung dengan hospital yang telah diluluskan.
“Hospital ini akan memberi vaksin kepada kakitangan syarikat tersebut termasuklah syarikat industri dan pertanian,” katanya. -EDISI UKAS
Sumber dari : Unit Komunikasi Awam Sarawak