MEI 2021

PM Benarkan Sarawak Beli Vaksin Sinovac - Abang Johari


BINTULU: Kerajaan Sarawak akan membeli 500,000 dos vaksin Sinovac Covid-19 bagi fasa pertama setelah mendapat kebenaran daripada Kerajaan Persekutuan.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, bagi tujuan itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberikan kebenaran kepada Sarawak untuk membeli vaksin tersebut.

"Saya telah berjumpa dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada dua minggu lalu untuk mendapatkan kebenaran membeli vaksin Sinovac dan beliau bersetuju dengan permohonan kita," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri taklimat situasi pandemik Covid-19 oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu, di sini hari ini.

Abang Johari menambah, Muhyiddin turut memberi kelulusan supaya hospital swasta yang digazet akan dibenarkan untuk memberi suntikan vaksin kepada orang ramai khususnya masyarakat di kawasan bandar.

Katanya, inisiatif tersebut dapat membantu mempercepatkan pemberian suntikan vaksin kepada mereka yang memerlukan.

Menurut Abang Johari, bagi syarikat korporat, industri dan perladangan yang ingin mendapatkan vaksin untuk kakitangan mereka  pula boleh berhubung dengan hospital-hospital yang sudah diluluskan oleh kerajaan.

Katanya, bekalan vaksin disediakan secara percuma oleh Kerajaan Sarawak dan mereka hanya perlu membayar perkhidmatan yang diberikan di hospital swasta sahaja.

Justeru, beliau menzahirkan penghargaan kepada Muhyiddin Yassin kerana memberikan kelulusan tersebut kepada Sarawak demi kebaikan rakyatnya.

Sumber dari : Jiwa Bakti