JUN 2020

Media Beri Impak Positif Kepada Masyarakat Untuk Bertindak Awal Cegah Kebakaran


KUCHING: Media di Sarawak sama ada media elektronik, media cetak dan media sosial memainkan peranan penting dalam menyalurkan maklumat dan informasi positif dalam pentingnya bertindak awal bagi mencegah kebakaran.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Negeri Sarawak PKPjB Khirudin Drahman @ Hussaini berkata, laporan sebegini penting dalam memberikan impak positif kepada masyarakat supaya lebih bersedia berhadapan dengan situasi kebakaran.

“RTM, ASTRO, UKAS, Kamek Miak Sarawak, Sarawak Edition yang menunjukkan laporan yang cukup positif.

“Dan, ini memberi impak yang positif kepada masyarakat sendiri di mana mereka belajar peri pentingnya mereka bertindak.

“Ini merupakan suatu kejayaan besar yang dibuat Jabatan Bomba, Kerajaan Negeri Sarawak di bawah Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana,” katanya semasa ditemui selepas Menyerahkan Alat Pemadam Api dan Sijil Penghargaan Kepada Pasukan Bomba Sukarela Sungai Buloh Simunjan pada Khamis.

Tambah Khirudin lagi, takrifan kebakaran rumah panjang menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak adalah suatu bencana.

“Mungkin di dalam Majlis Keselamatan Negara (MKN) bukan bencana, tetapi di dalam takrifan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, kebakaran rumah panjang adalah bencana melibatkan satu rumah panjang habis, satu bencana di mana beratus isi rumah, ketua isi rumah hilang tempat tinggal.

“Tingggal sehelai sepinggang. Dalam hal ini, kerajaan terpaksa membantu,” tambahnya.

Setakat hari ini, JBPM Negeri Sarawak telah pergi membuat pemeriksaan di 1,893 buah rumah panjang berbanding 4,000 buah rumah panjang yang ada di seluruh Sarawak. -Edisi UKAS

Sumber dari : Unit Komunikasi Awam Sarawak