SEPTEMBER 2019

Kerajaan Sarawak Tingkatkan Eksport Durian Tempatan Sarawak Ke Pasaran Luar Negara


MIRI: Kerajaan Sarawak telah mengeksport buah durian tempatan Sarawak ke China bagi melihat potensinya.

Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kewangan Kedua merangkap Menteri Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata buah durian asli Sarawak kini telah mula menembusi pasaran antarabangsa di negara China.

“Sekarang ini durian Musang King yang telah dikenal pasti di Semenanjung telah dieksport di China. Kita sudah menngantar 2 tan durian dari Sarawak, asli Sarawak. Mereka suka dengan durian Sarawak,” katanya semasa berucap merasmikan penutupan Pesta Durian Kabuloh 2019 di sini, semalam.

Kerajaan Sarawak berharap akan dapat meningkatkan eksport buah durian ke pasaran luar negara selepas prgogram tanaman buah durian secara besar-besaran dilaksanakan.

“Sudah dijual durian pes dengan jumlah 100 tan. Tahun ini, kita harap dapat jual 200 tan. Jabatan Pertanian Sarawak beritahu di Sarawak ada 400,000 pokok durian yang ditanam dan berbuah,” ujarnya.

Pesta Durian Kabuloh 2019 ini telah diadakan selama dua hari yang mengajak orang ramai mengenali buah durian tempatan dengan lebih dekat lagi dan makanan yang diperbuat dari buah durian.

Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan termasuklah pameran dan jualan miri kitchen, lawatan ke plot durian, demo membuat baja organik, demo masakan berasaskan durian, cabutan bertuah, pertandingan kepelbagaian durian dan demo tanaman durian.

Sumber dari: Unit Komunikasi Awam Sarawak