KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Sarawak dan Petronas hari ini mengumumkan berakhirnya rundingan yang diuruskan oleh Kementerian Kewangan mengenai penyelesaian komersial selepas mengetepikan perbalahan mengenai Cukai Jualan Negeri (SST) ke atas produk petroliam dan perkara berkaitan minyak dan gas.
Dalam kenyataan bersama, Kerajaan Sarawak dan Petronas di sini, persetujuan (Perjanjian) Penyelesaian Komersial itu yang ditandatangani pada 7 Disember, 2020, dengan disaksikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, antara lain membolehkan Sarawak mendapat perkongsian hasil lebih besar daripada minyak dan gas di negeri ini.
Kenyataan media itu dikeluarkan bersama oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Samion dan Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Petronas, Tengku Muhammad Taufik.
Perjanjian itu juga menyediakan penyertaan lebih aktif negeri ini ke atas industri minyak dan gas dengan menguruskan sumber minyak dan gas di darat oleh Petroliam Sarawak Berhad (Petros) dan pelaburan oleh Petros dalam kegiatan huluan di kawasan pesisir pantai.
Kerajaan Negeri Sarawak dan Petronas yang memain peranan sebagai syarikat minyak negara, kekal komited untuk bekerjasama demi mewujud dan mengekalkan kestabilan, perniagaan kondusif dan iklim pelaburan dan pembangunan mampan industri minyak dan gas iaitu kegiatan hiliran dan huluan di Sarawak.
Perjanjian itu bermatlamat menyediakan kerangka rundingan dengan kedua-dua belah pihak boleh berbincang secara bersama dan menyatakan perkara penting ke atas industri minyak dan gas termasuk berkaitan dengan kepentingan negeri Sarawak.
Gambar: BERNAMA
Sumber dari : Jiwa Bakti