MAJLIS SAMBUTAN 10 TAHUN MATTARY
KUCHING, 9.12.20
Yang Amat Berhormat
Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg
Ketua Menteri Sarawak telah hadir
Sempena Majlis Sambutan 10 Tahun Ma'had
Tahfiz Tun Abdul Rahman Ya’kub.
Dalam ucapan Perasmian, YAB Abg Jo, terlebih dahulu, merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak yang telah menjemputnya untuk sama-sama meraikan ulang tahun ke-10 Mattary dan menggucapkan tahniah dan syabas di atas segala usaha dan pencapaian yang telah dilakar sepanjang 10 tahun ini.
YAB Abg Jo mengatakan bahawa kewujudan begitu banyak institusi tahfiz di Sarawak kini telah membuka lebih ruang dan peluang kepada masyarakat untuk menghafaz al-quran. Program pengajian tahfiz Al-quran yang ditawarkan di setiap institusi tahfiz adalah berbeza-beza dari segi kurikulum, pendekatan dan pengurusannya.
Di sebalik perkembangan positif ini, kerajaan sedar akan cabaran sebenar terhadap hala tuju institusi- institusi tahfiz di Sarawak. Oleh itu, kerajaan telah mengambil inisiatif mewujudkan satu model institusi tahfiz yang akan menjadi panduan kepada seluruh institusi tahfiz di Negeri Sarawak. Melalui model ini, anak-anak akan mengikuti kurikulum pendidikan tahfiz yang dibangunkan bersesuaian dengan pendidikan aliran perdana bagi memastikan anak-anak ini mampu menguasai ilmu Al-quran di samping cemerlang dalam akademik. Kerangka yang dibina tidak hanya terhad untuk pendidikan di peringkat sekolah rendah sahaja malah dirangka sehingga ke peringkat sekolah menengah dan universiti. Saya yakin dengan usaha yang lebih terancang sebegini akan lahir lebih ramai al hafiz professional di Sarawak suatu hari kelak.
Justeru, katanya lagi, MATTARY telah dipilih menjadi sekolah tahfiz pertama yang akan mengikuti model ini. Pentadbiran dan pengurusan Mattary akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya kepada Majlis Islam Sarawak. Manakala kos pengoperasiannya akan disokong oleh Tabung Baitulmal Sarawak. Majlis Islam Sarawak telah diamanahkan untuk merangka, memantau dan memastikan model ini diiktiraf bukan sahaja di Sarawak namun di seluruh dunia.
Pelan jangka panjangnya ialah Mattary akan menjadi tunjang kepada sebuah institusi tahfiz yang bertaraf antarabangsa sealiran dengan Madrasah aljunied al-islamiah di Singapura dan mempunyai piawaian Bahasa Arab, keilmuan Islam serta Al-quran yang tinggi.
Mattary telah membuktikan kemampuan untuk melahirkan anak-anak yang seimbang dari segi Al-quran dan akademiknya, maka Mattary akan digilap untuk lebih menyerlah melalui model tahfiz ini. Tahun 2021 merupakan pemulaan untuk Mattary mula bergerak dari tahap yang baik menuju ke tahap terbaik dan menjadi contoh kepada institusi-institusi tahfiz yang lain' katanya.
Diakhir ucapan, YAB Abg Jo, memohon semua untuk terus berusaha dan berdoa agar diberi kekuatan untuk menjadikan anak-anak generasi Al-quran dan juga generasi ulul albab iaitu (golongan yang menggunakan akal dengan sempurna untuk mengkaji sehingga mampu meletakkan segala perkara pada perspektifnya yang betul) menjadi realiti. Semoga kita sama-sama memperoleh manfaat dan keberkatan dari Allah SWT atas usaha kita ini.
Turut hadir, Toh Puan Hajjah Hayati bt Ahmad, Pengerusi Eksekutif LAKMNS, Datuk Abg Wahab bin Abang Julai, YB Datuk Sharifah Hadiah Syed Aman, YB Fazruddin bin Abdul Rahman, Datuk Bandar DBKU, Datu Junaidi bin Reduan serta kenamaan lain.
Sumber dari : Sarawakku