OKTOBER 2018

Kerajaan negeri hulur sumbangan kepada keluarga Allahyarham Yahya


KUCHING: Keluarga Allahyarham Yahya Ali menerima bantuan daripada kerajaan negeri bagi meringankan beban keluarga berkenaan yang hilang sumber mata pencarian selepas tragedi lemas.

Kerajaan negeri menerusi Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak diketuai menterinya, Datuk Seri Fatimah Abdullah dan rombongan pergi ke Kampung Tian, Matu hari ini bagi menyampaikan cek bernilai RM10,000, bantuan bulanan Jabatan Kebajikan menerusi Skim Bantuan Am berjumlah RM300 sebulan dan bantuan orang tua untuk nenek Allahyarham RM350 sebulan.

Selain itu, pihak Bomba juga menyampaikan sumbangan daripada warga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak.

Menurut Fatimah, adik perempuan Allahyarham, Zainab, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dinasihat agar memohon mengikuti kursus kemahiran di CENTEX.

Pada kunjungan itu, Fatimah turut memaklumkan kepada keluarga berkenaan bahawa Ahli Parlimen P.207 Igan, Ahmad Johnie Zawawi bersetuju membina semula titian belian sepanjang 100 meter ke rumah keluarga Allahyarham dengan secepat mungkin.

Persetujuan itu dinyatakan oleh Ahmad Johnie kepada Fatimah semasa pertemuan mereka di Bangunan Baitulmakmur, Masja petang semalam. Pada pertemuan itu, Ahmad Johnie menyampaikan sendiri surat permohonan mendapatkan pekerjaan untuk Zainab di samping menyuarakan bantuan yang diperlukan oleh keluarga berkenaan.

Yahya, salah seorang daripada enam anggota bomba terkorban dalam Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) seorang remaja yang terjatuh di lombong Taman Putra Perdana Puchong 3 Oktober lalu.