KUCHING: Dalam tempoh hanya kira-kira 24 jam selepas mengunjungi buat kali kedua keluarga Allahyarham Yahya Ali, Ahli Parlimen P.207 Igan, Ahmad Johnie Zawawi, telah bergegas dari Matu ke Kuching untuk memastikan permohonan bantuan dan surat daripada ibu Allahyarham mendapat perhatian segera kerajaan negeri.
Petang semalam, Ahmad Johnie telah menyampaikan sendiri surat permohonan untuk mendapatkan pekerjaan bagi adik Allahyarham, Zainab Ali, 20, kepada Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK), Datuk Seri Fatimah Abdullah di pejabat KWKPK di Baitulmakmur, Masja, di samping menyuarakan bantuan yang diperlukan keluarga berkenaan.
Dalam suratnya itu, ibu Allahyarham, Halimah Gronggong, 43, merayu supaya anaknya Zainab, diberikan pekerjaan untuk menyara kehidupan keluarganya yang sebelum ini bergantung harap dengan Allahyarham Yahya.
Susulan pertemuan itu, Datuk Seri Fatimah Abdullah dan rombongan akan ke Kampung Tian Matu, hari ini untuk berjumpa sendiri keluarga Allahyarham dan memaklumkan bantuan yang akan disalurkan kerajaan negeri, bagi meringankan beban keluarga berkenaan, yang hilang sumber mata pencarian selepas tragedi berkenaan.
Dalam pertemuan semalam, Fatimah berkata permohonan bagi memberikan pekerjaan kepada Zainab akan dipanjangkan ke perhatian pihak berkuasa berkenaan dan pada masa sama kementerian itu akan memberikan bantuan sewajarnya kepada keluarga Allahyarham termasuk bantuan kepada adik-adik Allahyarham yang masih bersekolah.
Kesulitan keluarga berkenaan dimaklumkan ibu Allahyarham, Halimah Gronggong kepada Ahmad Johnie semasa kunjungan wakil rakyat itu di kediaman mereka,di Kampung Tian, Matu, Isnin lalu.
Ini merupakan kunjungan kedua Ahli Parlimen itu kepada keluarga Allahyarham Yahya, salah seorang daripada enam anggota bomba yang terkorban dalam Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) seorang remaja yang terjatuh di lombong Taman Putra Perdana Puchong pada 3 Oktober lalu.
Sebelum ini Ahmad Johnie bersama keluarga Allahyarham daripada sebelum ketibaan jenazahnya yang dibawa pulang ke Matu, sehinggalah selesai pengkebumian.
Halimah yang masih sedih atas apa yang berlaku, memberitahu mereka hilang tempat bergantung setelah kematian anak sulungnya itu. Selama ini Yahya menyara kehidupan kedua-dua orang tua dan adik-adiknya, memandangkan bapanya, Ali Benggang tidak mempunyai pekerjaan tetap.
“Saya mengunjungi keluarga Allahyarham buat kali kedua untuk bertanya khabar dan mengetahui akan keperluan mereka supaya mudah untuk kita menyalurkan bantuan sewajarnya,” kata Ahmad Johnie.