PENOM: Penganjuran Ulu Paku MTB Jamboree berupaya mengangkat dan ‘membuka’ kawasan Ulu Paku sebagai satu lagi produk pelancongan yang penting di sini.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas memberitahu, kawasan Ulu Paku yang masih mengekalkan alam semulajadi menjadi aset beharga bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban yang harus dikembangkan.
“Penganjuran sukan berbasikal lasak, Ulu Paku MTB Jamboree 2018 yang bertemakan ‘cycle into adventure’ dirangka untuk memperkenalkan kawasan ini khususnya kepada masyarakat sekitar dan luar bukan sahaja sesuai sebagai lokasi penganjuran sukan lasak namun mempunyai potensi dari sudut pelancongannya,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban bercakap demikian ketika merasmikan Ulu Paku MTB Jamboree 2018 di perkarangan rumah panjang Penom dekat sini, baru-baru ini.
Katanya dengan harapan, peserta yang datang dari Semenanjung, Sabah dan setiap pelosok negeri ini mampu menjadi ‘duta’ untuk mempromosikan kawasan ini yang masih segar dan belum diterokai.
“Ceritakanlah kepada dunia luar bahawa Ulu Paku ada produknya tersendiri, memiliki trek sukan lasak (berbasikal) yang mencabar selain keindahan berbukit yang cantik… dan harus dikunjungi,” ujarnya.
Ulu Paku MTB Jamboree edisi sulung kali ini disertai seramai 67 peserta dari 11 pasukan iaitu PDRM-G, Thong Hin Cycle, Corbuiser, Giant, Saxon, Sonamu, Spaoh Cycling Club (SCC), Prestanda, Team H2 Cycle, Daiichi Cycling Team dan Faith Wellness Cycling untuk mengikuti perlumbaan sejauh 42 kilometer merentasi laluan mencabar dalam lima kategori.
Uggah menyatakan komitmennya agar acara perlumbaan basikal bukit ini akan diteruskan penganjurannya pada edisi kedua tahun hadapan.
Pasukan ‘Giant’ dari Kuching mengungguli tiga kategori utama perlumbaan basikal bukit itu iaitu terbuka lelaki, veteran dan terbuka junior dengan bergelar juara.
Pada kategori terbuka lelaki, pelumbanya Muaz Abd Rahim mendahului dengan catatan masa 2 jam 1 minit untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM1,800 beserta trofi dan medal.
Beliau menewaskan pencabar terdekatnya dari pasukan PDRM-G iaitu Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi (naib juara) dan Mohd Elmi Jumari (tempat ketiga) yang masing-masing menerima hadiah wang tunai RM1,400 dan RM1,000 beserta trofi dan medal.
Bagi kategori veteran 40 tahun ke atas, seorang lagi pelumba Giant Glory Chai Kong Yong turut dahulu sampai ke garisan penamat dengan masa 2 jam 19 minit untuk melayakannya memenangi hadiah wang tunai RM900 beserta trofi dan medal.
Pelumba Corbuiser Supian Nor dan Patrick (Layar Cycling Team) terpaksa berpuas hati di kedudukan naib juara dan ketiga. Supian dan Patrick masing-masing pulang dengan hadiah wang tunai RM600 dan RM400 beserta trofi dan medal.
Pasukan Giant menambah satu lagi kejuaraan melalui Tay Choon Liang (2 jam 19 minit) yang memenangi kategori terbuka junior untuk membolehkannya menerima hadiah wang tunai RM700 beserta trofi dan medal.
Naib juara turut diraih oleh rakan sepasukannya Ivan Ong Chung Wee dan memenangi hadiah wang tunai RM500 beserta trofi dan medal. Tempat ketiga kategori ini disandang Abg Mohd Hafiz Abg Abd Rahman Spaoh Cycling Club (SCC) sekaligus pulang dengan hadiah wang tunai RM300 beserta trofi dan medal.
Untuk kategori tertutup Betong, juara disandang oleh Rapaee Hamzit (Kebat Cycling Team) dengan catatan masa 3 jam 10 minit untuk memenangi hadiah wang tunai RM600 beserta trofi dan medal.
Sementara Ramzie Sapian (SCC) di kedudukan naib juara dan Wong Chyi Kang pada tempat ketiga. Mereka masing-masing pulang dengan hadiah wang tunai RM400 dan RM200 beserta trofi dan medal.
Manakala kategori terakhir iaitu terbuka wanita yang memenangi hadiah wang tunai RM600 beserta trofi dan medal disandang oleh Natahsya Soon (Faith Wellness Cycling) sebagai juara selepas menamatkan perlumbaan dengan masa 3 jam 7 minit.
Pelumba PDRM-G (Masziyaton Mohd Radzi ) dan Sonamu (Junaidah Jus) sekadar berpuas hati berada pada kedudukan naib juara dan ketiga. Mereka masing-masing pulang dengan hadiah wang tunai RM400 dan RM200 beserta trofi dan medal.
Kesemua hadiah keseluruhan bernilai RM14,690 telah disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang hadir ditemani isteri.
Hadir sama Penasihat Sains Penyelidikan Negeri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Ahli Parlimen Betong Robert Lawson Chuat, ADUN Layar Gerald Rentap Jabu, Residen Bahagian Betong Friday Belik dan Pegawai Daerah Betong Sofhi Jebal.