MAC 2021

Kerjasama Sarawak, PETRONAS Lebih Erat


KUCHING: Perjanjian ‘term sheet’ antara Syarikat Sesco Bhd dengan Malaysia LNG Sdn. Bhd. (MLNG) untuk membekal 90 megawatt (MW) tenaga bagi tempoh selama 20 tahun akan mengeratkan lagi kerjasama antara Sarawak dengan PETRONAS, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Sarawak akan terus membangunkan tenaga boleh diperbaharui untuk memenuhi keperluan pertumbuhan organik, perindustrian dan eksport pada masa akan datang dan buat masa ini, Sarawak Energy sedang membangunkan projek tenaga hidro Baleh 1,285MW yang dijangka boleh digunakan pada 2026, katanya.

Pengiktirafan Kerajaan Persekutuan mengenai potensi besar tenaga hidro di negeri ini menunjukkan satu lagi usaha penting membangunkan tenaga hidro untuk memajukan tenaga hijau menjelang 2030 dan seterusnya, katanya pada majlis menandatangani ‘term sheet’ antara Syarikat Sesco Bhd dan MLNG di sini.

Untuk tempoh selama 20 tahun, Sesco melalui Sarawak Energy Berhad akan membekalkan 90MW tenaga ke kompleks MLNG, PETRONAS di Tanjung Kidurong.

Menurut Abang Johari, penggerak kemajuan pada masa hadapan termasuk pengeluaran gas hidrogen dan tenaga empangan hidro dan peralihan dasar tenaga strategik sejak sedekad yang lepas memberi banyak faedah kepada Sarawak dan rakyatnya.

Faedah tersebut, katanya, termasuk menyediakan harga tarif elektrik lebih rendah berbanding tempat lain di Malaysia dan wilayah ini.

Pembangunan itu, tambahnya, turut menggalakkan pertumbuhan ekonomi dengan menarik pelaburan ke Sarawak dan antara 2008 hingga 2020, sebanyak 12 PPS telah ditandatangani dengan syarikat dalam SCORE dan Perjanjian Pertukaran Tenaga kesalinghubungan dengan PLN di Kalimantan Barat dengan menyalur 2,900MW tenaga.

Kerajaan Sarawak kini menerokai teknologi hijau dengan mengembangkan tenaga hidrogen selain tenaga hidro, katanya dan menambah, gadingan sumber tenaga strategik ini akan membolehkan Sarawak memainkan peranannya dalam peralihan global berkaitan isu kepanasan.

  Komitmen menyediakan 90MW bekalan tenaga kepada Kompleks LNG Malaysia di Tanjung Kidurong untuk tempoh selama 20 tahun menggambarkan keupayaan Sarawak membekalkan tenaga sambil mengekalkan keyakinan kehadiran jangka panjang PETRONAS di Sarawak.

Perjanjian Persetujuan Penyelesaian Komersial antara Petronas dan Sarawak pada 7 Disember 2020, dianggap bersejarah juga sebagai tanda hubungan erat antara kedua-dua pihak dalam membangunkan sumber minyak dan gas di Sarawak untuk faedah bersama, katanya.

Ini adalah bukti kejayaan Sarawak dalam strategi pembangunan tenaga diperbaharui, tambah beliau dan menegaskan, perjanjian ini begitu penting bagi kedua-dua pihak kerana ia menandakan usaha ke arah kerjasama yang lebih erat untuk membawa manfaat kepada Petronas dan Sarawak melalui Sarawak Energy dalam suasana yang stabil di negeri ini, katanya.

Sumber dari : Jiwa Bakti