NOVEMBER 2020

Kesefahaman GPS-PN, Hak Sarawak Dihormati - Rubiah


KUALA LUMPUR: Kerajaan Sarawak menghargai keikhlasan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam menghormati pendirian dan dasar yang dilaksanakan Sarawak untuk memperjuangkan hak-hak negeri.

Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang berkata, ia terserlah apabila Petronas akhirnya membayar Cukai Jualan Negeri Sarawak (SST) ke atas produk perlombongan petroleum dengan pembayaran sejumlah RM2.96 bilion tanpa perlu melibatkan pertikaian di mahkamah.

“Walaupun ramai berpendapat bahawa pertambahan peruntukan pembangunan sebanyak RM100 juta kepada negeri Sarawak dalam Belanjawan 2021 tidak mencukupi, namun perkara ini tidak boleh dilihat melalui satu perspektif sahaja.

“Jika dilihat, Kerajaan PN berjaya mengembalikan beberapa projek di Sarawak yang tertangguh sejak dua tahun lalu seperti projek menaik taraf Jalan Datuk Mohamad Musa di Laluan 8101 yang bernilai sebanyak RM229 juta dan banyak lagi.

“Semoga dengan kesefahaman ini akan menjadi titik permulaan ke arah pengembalian hak-hak Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963,” katanya ketika menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 pada persidangan Dewan Rakyat bagi sesi Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di sini, hari ini.

Rubiah merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Kraftangan Malaysia berkata, penambahbaikan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) jelas membuktikan keprihatinan kerajaan PN dalam membantu rakyatnya menghadapi pandemik Covid-19.

Katanya, pemberian BPR merupakan usaha kerajaan dalam membantu rakyat yang terjejas terutama mereka yang kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan.

“Sebagai mendukung usaha Kerajaan PN dalam membantu rakyat, Kerajaan Sarawak juga mengikut jejak langkah yang sama dengan memperkenalkan Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) sebagai bantuan sokongan rakyat di Sarawak,” katanya.

Sumber dari : Jiwa Bakti