MAC 2021

Ketua Menteri Abg Jo Mengadakan Lawatan Kerja Ke Simunjan, Gedong


SIMUNJAN: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Haji Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg pagi tadi mengadakan lawatan kerja singkat ke Simunjan untuk meninjau projek-projek pembangunan yang sedang dilaksanakan. 

Sejurus tiba beliau telah diberi taklimat oleh agensi-agensi pelaksana mengenai projek-projek berkenaan termasuk projek tebatan hakisan sungai bertempat di Anjung Rehat di sini.

Dalam sidang media kemudian, Datuk Patinggi Abang Haji Zohari berkata kajian menyeluruh dari segi struktur tanah dan hidrologi hendaklah dilaksanakan bagi projek tebatan hakisan tersebut untuk menjana konsep projek yang menyeluruh pada hujung tahun ini.

Beliau berkata perlaksanaan projek tersebut sebelum ini tidak berjaya dan tindakan susulan harus dilaksanakan untuk menyelesaikan permasalahan “once and for all”.

Dengan konsep projek baharu bagi tebingan sungai sepanjang 500 meter yang bakal dilaksanakan tahun hadapan beliau berkata kos projek tersebut sekitar RM100 juta, ujar beliau.

Kosnya agak tinggi kerana “bore pile” mungkin akan digunakan untuk menahan daripada hakisan akibat hentaman arus yang kuat dari beberapa arah, ujar beliau lagi.

Sempena lawatan tersebut, Datuk Patinggi Abang Haji Zohari telah diberi penghormatan untuk merasmikan Rumah Rehat baharu di sini. 

Selesai lawatan di sini beliau bergerak ke Gedong melalui jalan darat untuk merasmikan program Jiwa Murni sempena Hari Tentera Darat ke-88. 

Turut hadir Dato Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong, Datuk Haji Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Belia, Datuk Amar Jaul Samion, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Haji Noroden Haji Majais, Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan wakil-wakil rakyat tempatan.

Sumber dari : Sarawakku