MAC 2021

Taman Perindustrian Sematan Dijangka Siap 22 Disember Ini


LUNDU: Pelaksanaan fasa pertama projek Taman Perindustrian Sematan dijangka siap sepenuhnya pada 22 Disember 2021.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, meskipun projek ini mengalami sedikit kelewatan, kontraktor yang bertanggungjawab memberi jaminan bahawa ia akan siap pada penghujung tahun ini.

"Pelaksanaan projek ini menghadapi sedikit kelewatan sekitar tiga peratus. Bagaimanapun, pihak kontraktor yakin bahawa mereka dapat menyiapkan fasa pertama projek pada 22 Disember tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Taman Perindustrian Sematan dan Anjung Usahawan Sematan di Tapak Anjung Usahawan Sematan di sini, pagi ini

Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua menambah, sejumlah RM8.5 juta kos diperuntukkan bagi pelaksanaan projek tersebut membabitkan kawasan seluas 52 ekar.

Bagaimanapun katanya, pelaksanaan projek dilaksanakan secara berperingkat dengan fasa pertama yang melibatkan 13 ekar sedang dalam proses pembinaan.

Sementara itu katanya, bagi projek pembinaan Anjung Usahawan Sematan yang turut dilaksanakan tahun lalu dijangka siap pada April 2022 kelak.

Katanya, sebanyak RM9.3 juta dana diperuntukkan bagi melaksanakan projek tersebut.

"Kedua-dua projek rakyat ini dibiayai oleh kerajaan negeri dan saya berharap agar konsultan dan kontraktor dapat menyiapkan projek dengan baik dan cepat, supaya dapat memanfaatkan masyarakat di sini," katanya.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.3 Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu.

Sumber dari : Jiwa Bakti