KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Haji Johari Tun Abang Haji Openg pagi ini telah menyempurnakan majlis pecah tanah bagi pembinaan Wisma Melayu di Jalan Diplomatik, Petra Jaya.
Dalam ucapan perasmian, beliau menyatakan bangunan berupa tengkolok tersebut apabila siap kelak melambangkan perpaduan dan semangat kaum Melayu di Sarawak dalam usaha mengejar pembangunan seiring dengan kaum-kaum lain di negeri ini.
Ini amat sejajar dengan ajaran al-Quran bahawa Tuhan tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum tanpa usaha kaum itu sendiri untuk mengubahnya, ujar beliau.
Datuk Patinggi Abang Haji Johari menegaskan bahawa pentadbiran Negeri Sarawak di bawah kepimpinan GPS adalah “Sarawak-centric” dan bukan “race-centric”.
“Sebelum ini saya telah melancarkan bangunan Dayak Cultural Foundation dan Dewan Perniagaan dan Industri Dayak di Jalan Ong Tiang Swee, dan tidak lama lagi saya akan melancarkan pembinaan bangunan FORUM di Miri,” ujar beliau.
Beliau berkata ini bukti komitmen Kerajaan GPS untuk membantu semua kaum dan menekankan bahawa sebagai seorang pemimpin Melayu dasar pentadbiran kerajaan pimpinan beliau adalah berasaskan kepada Piagam Madinah yang memberi keadilan kepada semua kaum.
Turut hadir isteri Ketua Menteri, Datuk Amar Hajah Juma’ani Tun Tuanku Haji Bujang.
Berucap terdahulu ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hassan yang juga Pengerusi Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak dan Datuk Haji Mohd. Naroden bin Haji Majais, Menteri Muda Perdagangan dan Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana merangkap pengerusi jawatankuasa induk majlis.
Sumber dari : Sarawakku