DISEMBER 2020

Pemilikan Tanah Orang Melayu Terjamin


KUCHING: Kerajaan pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa mengiktiraf dan mempertahankan hak orang Melayu ke atas tanah seperti mempertahankan hak dan kepentingan kaum Bumiputera lain terhadap Hak Tanah Adat Bumiputera (NCR).

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pengukuran dan pengeluaran surat hak milik tanah NCR dilaksanakan sejak tahun 1960-an khususnya melalui Operasi Penyelesaian dan Program Pengukuran Kampung Tradisional selaras dengan peruntukan dalam Kanun Tanah Negeri Bab 81.

Usaha itu diteruskan dengan Program Pengukuran Tanah NCR Insiatif Baharu pada 2010 yang telah mencapai kejayaan yang cemerlang dari segi kepantasan dan kecekapannya, katanya semasa berucap pada Upacara Pecah Tanah Wisma Melayu yang disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di sini, hari ini.

Sebagai contoh, kampung-kampung di sepanjang Sungai Sarawak yang dikenali sebagai Kampung Seberang Hilir dahulunya hanyalah Kampung Tradisional yang telah lama wujud melalui warta rizab komunal sahaja, tegas beliau.

Hasil daripada pengukuran lot-lot kediaman di dalam Kampung Tradisional berkenaan, tambahnya, pemilikan ke atas tanah di kampung-kampung itu kini terjamin dengan pengeluaran surat hak milik individu di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri.

Menurut Awang Tengah, Kerajaan Negeri juga telahpun meminda Kanun Tanah Negeri yang melibatkan Native Territorial Domain (NTD). Pindaan ini membolehkan kawasan yang menepati kriteria NTD yang disahkan akan dikeluarkan surat hak milik komunal kepada kaum yang berhak termasuk orang Melayu.

Jerayawara bagi menerangkan perkara dan prosedur NTD itu telah diadakan di seluruh negeri Sarawak merangkumi zon utara di Miri, zon tengah di Sibu dan zon selatan di Kuching, katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) berkata, agenda yang dirancang dan dilaksanakan menjurus kepada mempertahankan budaya dan adat resam untuk memastikan ia sentiasa kekal, tak lekang dek panas, tak lapok dek hujan, dalam konteks mencapai Sarawak Maju menjelang tahun 2030 demi kemakmuran bersama.

Orang Melayu Sarawak bersama-sama dengan kaum-kaum lain memberi sumbangan yang signifikan terhadap pembangunan dan perkembangan tamadun di negeri ini dan terbukti sejak prakemerdekaan, zaman kemerdekaan dan pasca kemerdekaan sehingga ke hari ini, kata beliau.

Menurut Awang Tengah lagi, nama-nama seperti Tun Datuk Patinggi Abang Haji Openg, Datuk Merpati Jepang, Sultan Tengah, Sharif Masahor, Datuk Patinggi Ali, Rosli Dhobi, Tun Tuanku Haji Bujang, Tun Salahuddin, Datuk Ajibah Abol dan beberapa lagi tokoh kenamaan pada era prakemerdekaan telah memberi sumbangan yang begitu signifikan.

”Legasi ini diteruskan oleh tokoh seperti Allahyarham Tun Abdul Rahman Ya’akub, Tun Datuk Patinggi Ahmad Zaidi Adruce, Datuk Abang Abu Bakar Mustapha, Tan Sri Sulaiman Daud dan ramai lagi tokoh kita sehinggalah kepada Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem dan hari ini Datuk Patinggi Abang Zohari,” tambahnya.

Sejajar dengan hasrat Yang Dipertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, semasa menjadi Ketua Menteri dan Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem yang juga mantan Pengerusi Lembaga AKYBMS dan dipersetujui oleh Ketua Menteri sekarang agar AKYBMS bersifat lebih inklusif, katanya.

”Peranannya haruslah diperluaskan bukan sahaja untuk kepentingan masyarakat Melayu malah juga mengambil kira kepentingan masyarakat kaum lain yang beragama Islam seperti kaum Melanau, Kedayan, Jati Meriek, Baie Segan dan lain-lain. Sehubungan itu, ahli Lembaga Pemegang Amanah telah dilantik untuk melibatkan wakil-wakil daripada beberapa kaum berkenaan dan mewakili beberapa bahagian pentadbiran di negeri Sarawak,” tegas Awang Tengah.

Sumber dari : Jiwa Bakti