APRIL 2021

Kita Berjaya Sebelum Ini, Kita Dapat Melakukannya Lagi - Abg Jo


Dalam menguruskan COVID-19, usaha untuk mengekang penularan virus tersebut oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (SDMC) telah dilaksanakan berasaskan dasar "Jejak, Uji, Kuarantin dan Sisih" apabila terdapat kes-kes positif. Dengan langkah-langkah tersebut, Sarawak berjaya mendatarkan lekuk jangkitan sebelum ini. 

Pada akhir tahun 2020, setelah Perintah Kawalan Pergerakan (MCO) dilaksanakan, Sarawak telah berjaya mendatarkan lekuknya.  Semua kita faham mengenai SOP dan patuh kepadanya ketika PKP1, PKP2, PKP3 dan PKP4 – namun langkah-langkah ini telah memberi kesan buruk kepada ekonomi negeri ini dan juga rakyat kita. 

Semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), Sarawak berjaya mengekalkan banyak daerah dengan status hijau sementara sebilangannya kuning dari 25 November 2020 hingga 7 Januari 2021. 

Kita melangkah ke bulan Januari dengan 35 Zon Hijau dan hanya 5 Zon berstatus Kuning. Jumlah kes harian agak rendah dan kita berjaya mengatasin penularan jangkitan yang berleluasa selama beberapa bulan. 

Ini berlaku kerana SEMUA PIHAK/ SEMUA ORANG telah memainkan peranan mereka dengan mematuhi SOP yang ditetapkan oleh SDMC. Tidak ada keperluan untuk mengenakan kompaun atau denda kepada rakyat kita. Semua orang tahu apa yang harus dilakukan dan mempunyai tahap kesedarannya yang tinggi tentang tanggungjawab mereka. 

Sayangnya pada 8 Januari, telah berlaku kes-kes import yang masuk ke negeri ini. Sejak itu, penularan kes berlaku di seluruh Sarawak. Jumlahnya secara beransur-ansur meningkat tetapi pada kadar terkawal. Beberapa kawasan patuh kepada SOP, sementara yang lain tidak. 

Kita perlu mengingatkan diri kita bahawa kita dapat menurunkan lekuk jangkitan sebelum ini dan saya yakin kita dapat melakukannya lagi. Namun, ini hanya boleh berlaku dengan kerjasama semua pihak. 

Dengan tren peninkgatan di beberapa tempat ketika ini, iaitu Sibu, Bintulu dan Miri, kita telah memutuskan untuk melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dari 13 April hingga 26 April 2021.

PERINGATAN KEPADA ORANG AWAM 

Kita telah memutuskan untuk meneruskan "Jejak, Uji, Kuarantin dan Isolasi" apabila terdapatnya kes positif dan mengekalkan tempoh kuarantin 14 hari bagi mereka yang memasuki Sarawak untuk mengelakkan lebih banyak kes yang diimport. 

Sejak Januari, polisi kuarantin 14 hari telah mengesan 60 kes positif yang kembali dari luar negara (Import A) dan 270 kes positif yang kembali dari Negeri lain (Import 😎. Mereka semua telah dikuarantin di hotel.

Perbahasan mengenakan MCO (PKP) berbanding CMCO (PKPB) semakin hangat akhir-akhir ini dan saya meyakinkan anda bahawa SDMC telah membuat penilaiannya di lapangan dan telah menjelaskan bahawa sepanjang pengalaman mereka dengan PKP di Sibu, mereka mengalami kesukaran dari segi penguatkuasaan. 

Dengan melaksanakan MCO (PKP) untuk Sarawak, ianya akan membebankan banyak industri dan ramai orang hilang pekerjaan. Namun, ada juga keperluan untuk kita mengambil langkah drastik untuk memutuskan rantaian, supaya keadaan tidak terus menekan sumber dari segi kesihatan kita yang terhad di samping tenaga kerja kita mencecah tahap keletihan.

TINDAKAN YANG DIAMBIL – PENETAPAN MCO DAN MEMPERKETATKAN RENTAS DAERAH

Oleh itu, setelah mempertimbangkan semua isu dan menilai risikonya, SDMC telah memutuskan untuk terus melaksanakan operasi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (TEMCO) (PKPD) di daerah yang disasarkan kerana langkah ini terbukti berhasil di rumah panjang, kawasan kejiranan dan tempat kerja sebelum ini. 

Pergerakan rentas antara daerah juga merupakan penyumbang utama penularan COVID-19. Setakat ini, terdapat 506 kes positif yang dikesan dan 8 kluster muncul kerana perjalanan rentas antara daerah (Import C) sejak Januari 2021. 

Setelah menilai peningkatan jumlah kes tempatan bagi kes-kes Import C COVID-19, saya telah mengarahkan agensi penguatkuasaan seperti PDRM, UKPN, ATM, APM dan RELA untuk mengetatkan kawalan perjalanan rentas  daerah. Oleh itu, mulai hari ini, hanya perkhidmatan penting yang dibenarkan melintasi zon dengan kebenaran polis. 

Sebab-sebab lain yang menyebabkan peningkatan kes juga berkaitan dengan kurangnya pematuhan SOP - terutamanya melalui Perhimpunan Sosial. 

Sehingga kini, perhimpunan seperti pengebumian telah merekodkan 3,612 kes positif dari 8 kluster, dengan 31 kematian. Perhimpunan lain seperti perjumpaan keluarga, pesta ulang tahun, pesta perpisahan, perjumpaan sempena perayaan, acara seperti gotong-royong dan laga ayam (sabong ayam), telah mengakibatkan 22 kluster, 1053 kes positif dan 5 kematian. 

Saya mengucapkan takziah kepada semua keluarga yang telah kehilangan orang-orang tersayang akibat COVID-19.

NASIHAT KEPADA ORANG AWAM

Walaupun agensi penguatkuasaan melakukan tugas mereka untuk menegakkan undang-undang dengan mengeluarkan kompaun kepada mereka yang melanggar undang-undang, saya menggesa semua rakyat kita untuk mematuhi SOP. Hanya dengan adanya kerjasama dan kesedaran awam seperti sebelum ini kita dapat menang. Kita akan menang. 

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada barisan hadapan kita yang berkhidmat tanpa mementingkan diri dalam menangani wabak ini, dan juga orang ramai kerana bekerjasama dalam mematuhi SOP kesihatan awam. Selagi vaksin tidak tersedia, seluruh dunia akan terus bergelumang dengan COVID-19. Oleh itu, saya menyeru agar kita semua terus selalu berwaspada, menjaga kesihatan dan keselamatan diri dan orang lain, dan sentiasa mematuhi SOP.

CAHAYA DI PENGHUJUNGNYA: PELAKSANAAN PROSES VAKSINASI 

Bagi rancangan pelaksanaan vaksinasi, Sarawak berada di landasan yang betul. 

Saya telah meluluskan untuk menubuhkan sekumpulan pakar untuk membentuk Kumpulan Penasihat COVID-19 Sarawak (SCOVAG) agar pihak SDMC sentiasa dikemas kini mengenai berita vaksin global, menyelidik dan memberi nasihat kepada Kerajaan Negeri mengenai vaksin yang sesuai untuk orang Sarawak dan menubuhkan Pasukan Petugas Pelalian COVID-19 (CITF) untuk menyelaras kesiapsiagaan Vaksin COVID-19. Kerajaan Sarawak sentiasa bersedia untuk membantu dengan Pelan Imunisasi Nasional untuk mempercepatkan rancangan roll-out nya. 

Untuk pembekalan vaksin, saya telah memberi lampu hijau kepada Sarawak untuk membeli vaksin yang mencukupi untuk mempercepat liputan imunisasi bagi rakyat Sarawak. YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Pengerusi SDMC telah mengadakan pertemuan dengan YB Khairy Jamaluddin, Menteri Teknologi dan Inovasi Sains yang juga merupakan Menteri Koordinator Program Pelalian Nasional COVID-19 minggu lalu untuk membincangkan undang-undang berkaitan bagi Sarawak untuk membeli bekalan vaksinnya sendiri. Saya dimaklumkan bahawa YB Khairy telah memberi jaminan kepada kita bahawa mereka akan menyokong usaha untuk mempastikan pembekalan vaksin yang mencukupi untuk Sarawak sejajar dengan matlamat untuk menyelesaikan rancangan vaksinasi pada akhir Ogos di negeri ini. 

Saya juga dimaklumkan bahawa semua Residen di 12 Bahagian bekerja  keras dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian mereka (DDMC) dalam merancang persediaan untuk menyambut ketibaan bekalan vaksin di tempat masing-masing. Setakat ini kita telah mengenal pasti 279 tempat di seluruh Sarawak untuk ditetapkan sebagai Pusat Vaksinasi atau Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Fasa kedua rancangan pelaksanaan vaksinasi di mana pengesahan telah diberikan oleh Jawatankuasa Khas Memastikan Akses ke Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) akan bermula pada 19 April 2021, iaitu hari ini, dan seterusnya. 

Fasa 2 akan memberi tumpuan kepada orang-orang tua dan mereka yang mempunyai komorbiditi. Kita menjangkakan fasa 3 akan bermula pada bulan Mei 2021 tertakluk kepada bekalan vaksin. 

Oleh itu saya menggesa semua orang untuk mendaftar untuk diberi vaksin melalui laman web JKJAV atau melalui aplikasi MySejahtera. Mereka yang tidak mempunyai akses kepada kedua-duanya juga boleh mendaftar melalui Pejabat Daerah terdekat atau Pejabat Residen. 

Saya ingin memberi jaminan kepada rakyat Sarawak bahawa Kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa memberi keutamaan, untuk melindungi kepentingan Sarawak dan membawa Sarawak dan rakyatnya ke tahap kemajuan yang lebih tinggi.

Sumber dari : Sarawakku