OKTOBER 2020

Kompleks UNIFOR Lambang Keikhlasan Kerajaan Terhadap Semua Agama


KUCHING: Persetujuan Kerajaan GPS  terhadap pembinaan Kompleks UNIFOR di sini mencerminkan keikhlasan Kerajaan Negeri untuk mempastikan semua agama, selain Islam mampu berkembang secara sihat, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Haji Johari Tun Datuk Abang Haji Openg tengah hari tadi.

Beliau menyatakan demikian dalam ucapan sempena melancarkan pembinaan kompleks UNIFOR di sebuah tapak di Jalan Ong Tiang Swee di sini.

Kerajaan GPS telah meluluskan tapak tersebut dengan peruntukan sebanyak RM70 juta untuk membina kompleks tersebut. 

Datuk Patinggi Abang Haji Johari menyatakan telah menjadi falsafah pentadbiran Kerajaan GPS bahawa pembangunan agama yang sihat bagi semua agama adalah kunci kepada pembangunan dan keharmonian yang berkekalan di Sarawak.

Beliau berkata keharmonian kaum di Sarawak amat unik kerana orang bukan Islam juga menjaga kebajikan dan kepentingan orang Islam dan sebaliknya.

Mengambil contoh di Belaga, beliau berkata wakil rakyat setempat, Datuk Liwan Lagang yang bukan Islam telah mencadangkan supaya dibina masjid dengan ongkos RM10 juta untuk masyarakat Islam di sana. 

“Itulah Sarawak,” ujar beliau.

“Kalau di sebelah sana (Semenanjung), habis. Kalau diketahui kita membantu orang bukan Islam, pilihanraya gerenti kalah,” ujar beliau lagi.

Terdahulu Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga menteri bertanggungjawab terhadap UNIFOR turut berucap.

Sumber dari : Sarawakku