APRIL 2021

Konsep Bandar Pintar Diperluas Ke Semua Bandar Utama


MIRI: Kelajuan internet tinggi akan merealisasikan inisiatif digital sekali gus mengubah Sarawak menjadi negeri pintar.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, usaha untuk mendapatkan spektrum yang lebih luas bagi memastikan kelajuan internet kini sedang dalam peringkat perbincangan bersama-sama Kerajaan Pusat.

“Sekiranya ini memiliki kelajuan internet 5G, kita mesti mempunyai kelajuan sekurang-kurangnya 700 megahertz (MHz).

“Dengan kelajuan ini, kita dapat merealisasikan inisiatif digital dan mengubah Sarawak menjadi negeri pintar,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Miri Smart City di sebuah hotel terkemuka, hari ini.

Ketua Menteri memberitahu, pemilihan Miri sebagai model bandar pintar kerana bandar raya tersebut sudah mempunyai sistem jaringan maklumat pintar.

“Usaha ini merupakan satu pendekatan yang sangat baik serta akan menjadikan Miri sebagai bandar pintar pertama di Sarawak,” ujarnya.

Katanya, pelaksanaan Miri Smart City Proof Of Concept (MSCP)  sejajar dengan Strategi Ekonomi Digital Sarawak 2018-2022.

“Di bawah Ekonomi Digital Sarawak, terdapat tujuh sektor utama termasuk Smart City diberi tumpuan dalam tindakan strategik yang memberi keutamaan kepada perkhidmatan kelas pertama kepada rakyat.

“Inisiatif yang kita laksanakan ialah supaya bandar-bandar besar ditransformasikan sebagai bandar pintar dan semua maklumat boleh diterokai dan diterima di hujung jari sahaja,” jelasnya.

Ketua Menteri berkata, konsep bandar pintar akan diperluaskan ke bandar-bandar utama dalam usaha memacu negeri ini sebagai Smart Sarawak (SS) menjelang tahun 2030.

“Konsep ini dimajukan dengan perkembangan teknologi yang membolehkan pelaksanaan lebih efisien bagi meningkatkan kecekapan pengurusan sesebuah bandar raya.

“Ini termasuk peralihan kaedah semasa ke dalam sistem digital seperti pengangkutan awam, pengurusan sisa, pengurusan trafik, keselamatan awam dan lain-lain lagi,” ujarnya lagi.

Turut hadir ialah Menteri Pengangkutan, Datuk Lee Kim Shin, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Prof. Dr. Sim Kui Hian, Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr Penguang Manggil serta yang lain.

Sumber dari : Jiwa Bakti