FEBRUARI 2020

Koperasi Wujudkan Banyak Peluang Pekerjaan


KUCHING: Golongan belia disaran melibatkan diri dalam kumpulan koperasi bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di negara ini.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, koperasi memainkan peranan penting dalam memajukan negara kerana ia akan mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih baik untuk golongan belia.

"Usaha ini kita boleh lihat melalui sistem koperasi sekolah yang dipandang oleh orang luar sebagai rujukan mereka kerana koperasi ini beroperasi di bawah pergerakan dan perancangan yang teratur dan sistematik," katanya.

Tambahnya, Kementerian Pelajaran (MOE) dan Pergerakan Koperasi Nasional Malaysia (ANGKASA) menjalankan tugas cemerlang dalam mempromosikan kemasukan koperasi sebagai satu perkara dalam kurikulum sekolah.

Sehingga Jun 2019, terdapat 2,433 koperasi sekolah di Malaysia membabtikan 1.6 juta ahli, jelasnya.

Katanya, koperasi sekolah yang menggabungkan pengalaman kerja dan pendidikan berasaskan sekolah memperkenalkan anak muda kepada model perusahaan koperasi sambil memberikan pendedahan kepada kemahiran yang diperlukan dalam menjalankan perniagaan.

"Pada masa-masa sukar ini kita perlu mempromosikan koperasi dan menggalakkan belia menjadi sebahagian daripada perusahaan koperasi," ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap ketika Majlis Perasmian 'Global Youth Forum Co-operative Entrepreneurship 2020' (GYF2020) bertempat di Hotel Riverside Majestic, Kuching hari ini.

Dalam pada itu, program GYF20 dianjurkan untuk membolehkan para peserta menimba ilmu tentang keusahawanan koperasi dan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu global yang salah satunya berkenaan dengan peluang pekerjaan yang kondusif bagi golongan belia.

Malaysia dipilih sebagai destinasi pertama penganjuran GFY20 anjuran bersama International Co-operative Alliance (ICA), Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dan European Union (EU) bermula 3 hingga 7 Februari 2020 di Kuching, Sarawak.

Program ini melibatkan seramai 250 golongan belia dari 109 buah negara dan 50 peserta dari Malaysia.

Antara perkara dan isu yang akan dibincangkan termasuk peranan dan pembangunan koperasi melalui Teknologi Maklumat dan media sosial, isu sosial, isu alam sekitar, Matlamat Pembangunan Mampan (SDG2030), model perniagaan, metadologi, undang-undang, kewangan, kepimpinan, pengurusan dan modal insan, dan mewujudkan rangkaian dan jaringan strategik.

"Saya percaya, GYF20 membantu menumpukan perhatian ke arah kaedah dan tindakan yang perlu diambil supaya peserta mempunyai hala tuju yang bukan sahaja untuk pembangunan ekonomi, tetapi kepada masyarakat,"katanya.

Sumber dari : Jiwa Bakti