FEBRUARI 2020

Sarawak Belanja RM11 Juta Untuk Sains, Matematik Dalam Bahasa Inggeris


KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak membelanjakan RM11 juta untuk kemudahan pembelajaran dan pengajaran bagi melaksanakan Proses Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di Sarawak.

Menteri Muda Pendidikan Sains Dan Penyelidikan Teknologi, Dr. Annuar Rapaee berkata peruntukan tersebut untuk menyediakan buku teks, bahan pengajaran dan pembelajaran serta menyediakan kursus yang sesuai untuk pendidik.

"Ini kerana kita mahu pelaksanaan PPSMI ini berjaya sekaligus menjadikan Sarawak sebagai contoh dalam menerajui program ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui oleh pemberita selepas Majlis Syarahan Perdana bertempat di Dewan Syarahan, Pusat Islam Tun Abang Salahuddin (PITAS), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), hari ini.

Dalam pada itu, tambahnya, kementerian akan mendapat laporan awal mengenai keberkesanan pelaksanaan PPSMI pada awal bulan Februari ini.

"Susulan daripada itu, proses PPSMI ini akan sentiasa dipantau sepanjang tahun ini untuk melihat masalah-masalah yang timbul dari program tersebut,"ujarnya.

Sumber dari : Jiwa Bakti