OGOS 2020

Kos Tiga Jambatan Di Sarawak Untuk Projek SSLR


KUALA LUMPUR: Kos projek berjumlah hampir RM1 bilion bagi tiga projek jambatan di Sarawak yang dibatalkan pelaksanaannya oleh kerajaan sebelum ini, telah diperuntukkan bagi melaksanakan Projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR).

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata projek SSLR juga bakal memberi manfaat kepada rakyat Sarawak khususnya mereka yang berada di pedalaman Sarawak serta boleh mencetuskan peluang-peluang ekonomi baharu melalui ekopelancongan dan agropelancongan.

Menurutnya, jalan baharu sepanjang 90 kilometer (km) dari Lawas ke Kampung Pa’ Berunut yang akan menggantikan laluan sedia ada ini juga mampu memberikan keselesaan kepada pengguna jalan raya.

“Justeru, mengenai isu cadangan reimbursement atau bayaran semula kos yang ditanggung oleh Kerajaan Sarawak, bagi pembinaan tiga jambatan terbabit, tertakluk kepada kelulusan agensi pusat serta keupayaan semasa ekonomi negara,” katanya ketika berucap menggulung Perbahasan Titah Diraja Tahun 2020 pada Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat, petang ini.

Beliau mengulas demikian sebagai respon kepada isu yang dibangkitkan Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi, ketika berucap menyokong Titah Diraja pada persidangan kali ini.

Sebelum ini Ahmad Johnie mencadangkan supaya Kerajaan Persekutuan ‘reimburse’ atau membayar balik kos sama bagi pembinaan ketiga-tiga jambatan yang dibatalkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini iaitu Jambatan Batang Igan, Jambatan Rambungan dan Jambatan Batang Lupar kepada Kerajaan Sarawak bagi tujuan membangunkan kawasan luar bandar di Sarawak.

Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan RM300 juta untuk projek Jambatan Batang Igan, RM100 juta untuk Jambatan Rambungan dan RM500 juta untuk Jambatan Batang Lupar menerusi Kementerian Kerja Raya. Kos pembinaan Jambatan Batang Lupar ketika itu dianggarkan RM1 bilion dengan Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan bersetuju menanggung secara bersama kosnya.

Bagimanapun, Kerajaan PH sebelum ini tidak meneruskan peruntukan untuk membina tiga jambatan berkenaan sehingga memaksa Kerajaan Sarawak mengambilalih keseluruhan kos pelaksanaannya.

Sumber dari : Jiwa Bakti