SIBU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad mengajak rakan seperjuangan dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) khususnya Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memperkuatkan jentera parti dan saling bekerjasama bagi menyahut seruan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, wakil rakyat GPS khususnya PBB sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12.
Katanya lagi, wakil rakyat GPS sentiasa turun padang bukan sahaja menyantuni rakyat malah memastikan semua projek pembangunan berjalan lancar demi kemajuan rakyat .
"Kita sedia maklum bahawa tempoh DUN sekarang akan berakhir pada Mei tahun hadapan. Ini bermakna PRN boleh diadakan pada bila-bila masa.
"Sebagai seorang presiden parti dan Ketua Menteri, Abang Johari sememangnya sentiasa mengingatkan dan menasihati wakil rakyat supaya sentiasa menjalankan amanah dengan baik," katanya.
Beliau turut mengingati rakan-rakan lain supaya tidak leka dan merasa selesa kerana pilihan raya perlu diberi perhatian serius.
"Cuma, bila tibanya pilihan raya apa yang perlu dipertingkatkan ialah "House Keeping".
"Ini bagi memastikan jentera parti khususnya PBB di peringkat cawangan dikemas kini serta dalam keadaan siap siaga,” katanya.
Sumber dari : Jiwa Bakti