KUCHING: Pelaksanaan sektor pertanian di Sarawak secara besar-besaran mampu menyediakan peluang pekerjaan khususnya kepada golongan belia dan graduan, di negeri ini.
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, satu kertas kerja berhubung perkara ini akan dibawa ke mesyuarat kabinet pada hujung bulan ini.
“Perancangan ini merupakan alternatif untuk memberi peluang pekerjaan kepada belia dan graduan yang masih belum mendapat kerja di Sarawak," katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas melawat Tempat Kekal dan Pemprosesan Makanan (TKPM) Rampangi, di sini.
Menurutnya, pada masa ini, terdapat 300,000 graduan lepasan universiti di negara ini dan daripada jumlah itu, ada di antara mereka menyambung pelajaran ke peringkat seterusnya manakala selebihnya tidak bekerja (menganggur).
Sehubungan itu, katanya, beliau telah berbincang dengan Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia mengenai aktiviti dan perancangan untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan ini.
Dalam pada itu, katanya, MEDAC turut menyediakan pelbagai kemudahan seperti latihan asas untuk belia yang berhasrat menyertai sektor pertanian ini.
“Justeru, perancangan dan usaha yang disediakan oleh kementerian dapat membuka ruang dan peluang kepada belia dan graduan yang masih lagi tidak mendapat kerja pada masa ini," katanya.
Sumber dari : Jiwa Bakti