NOVEMBER 2020

Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak, JKR Pantau Berterusan


KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak selaku agensi penguasa bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya khususnya di sepanjang kawasan pembinaan projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak sentiasa membuat pemantauan berterusan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Dato’ Eddin Syazlee berkata, ini termasuk pemeriksaan mengejut dan audit keselamatan jalan raya oleh pihak ketiga iaitu ibu pejabat JKR Malaysia yang diadakan mengikut keperluan dan aduan sekiranya ada, katanya menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Igan Ahmad Johnie Zawawi pada persidangan Dewan Rakyat di sini.

Ahmad Johnie dalam soalan lisannya bertanya apakah tindakan yang diambil oleh kementerian terhadap syarikat kontraktor yang gagal menyediakan Pelan Pengurusan Trafik (TMP yang menjadi punca kemalangan dan sejauh mana pemantauan dibuat bagi memastikan pematuhan TMP khususnya di kawasan Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak.

Eddin berkata, antara prosedur diguna pakai ialah Prosedur TMP di tapak bina sepanjang pembinaan jalan raya berpandukan kepada Piawaian Arahan Teknik JKR.

Selain itu, Akta Kilang Dan Jentera 1967, Peraturan (Building Operation and Works of Engineering Construction - BOWEC) 1986; Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994; dan Garis Panduan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Awam di Tapak Bina Tahun 2007.

 “Jika terdapat kegagalan kontraktor untuk mematuhi prosedur keselamatan yang dinyatakan di atas, Arahan Pemberhentian Kerja (Stop Work Order) akan dikeluarkan kepada kontraktor terlibat,” katanya.

Kerja-kerja pembinaan hanya boleh diteruskan setelah penambahbaikan dilaksanakan oleh kontraktor berdasarkan kepada Notis Penambahbaikan (Corrective Action Request - CAR) oleh Pegawai Penguasa (Pengarah JKR Sarawak), tegas beliau.

Sumber dari : Jiwa Bakti